Thursday, September 10, 2009

KALAM AKHIR 2009




KALAM AKHIR
PERSIDANGAN PENANGGUHAN MPP 2008/2009
Bilik Gerakan Sekolah
11 September 2009 - Jumaat
oleh
Khairudin bin Abas
Penasihat MPP 2008/2009

Assalamualaikum wrt wbt
Presiden,Timbalan Presiden,Naib-naib presiden
Setiausaha kehormat dan penolongnya,Bendahari kehormat dan penolongnya,Dan ahli-ahli Majlis Eksekutif sekelian

Firman Allah Taala ;

“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka yang benar : sesungguhnya mereka ituorang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahi mereka dengan hidayah dan petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka ( dengan kesabaran dan keberanian) , semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata : “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan menatdbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali menyembah tuhan yang lain daripada Nya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh daripada kebenaran”

Surah Al-Kahfi :13-14

Tidak ada ungkapan dan kalimah untuk kita lafazkan selain daripada merafakkan rasa tasyakkur yang setulus dan sekudusnya ke hadrat ilahi yang mengizinkan kita bertemu dan berkumpul di persidangan penangguhan yang penuh bermakna ini di usia Majlis Pimpinan Pelajar 2008/2009 yang kian lanjut dan kini sudahpun menginjak detik senja dalam babak-babak perjuangan. Tahniah dan syabas moga-moga janji Allah pada mereka yang berjuang dijalannya akan kita rasai. Dan bagi kita yang berjuang di jalanNya, janganlah ada rasa kecewa walaupun kita seakan tidak mampu melaksanakan apa yang dipertanggungjawabkan. Namun percaya atau tidak apa yang ditanya oleh Tuhanmu nanti ialah “ Buat atau tidak bukan berjaya atau tidak”.

PERJUANGAN TIDAK PERNAH BERAKHIR MALAH IA SENTIASA BARU BERMULA

Dalam perjalanan yang cukup panjang kita bersama dari malam pertama kalian dipanggil untuk belajar memikul amanah ini , dari sesi mentor mentee yang amat menggetarkan dibilik gerakan sekolah, kemudian disulami dengan hari pembubaran MPP 2008/2009 dan mulai hari itulah bermula tangisanmu sebagai pimpinan di SAM BBST yang dikasihi ini. Mengapa tangisan ini mengalir setiap kali pimpinan baru bertukar wajah , sebagai hamba Tuhan yang kerdil ini, tidak menjadi kehinaan untuk menjadi tukang mengelap air mata pimpinan, bagi hamba ini, air mata ini perlu terus dialirkan kerana ia adalah air mata suci seorang wira wirawati yang tekal belajar erti pahit manis perjuangan di medan dakwah.

.
KITA YANG MENJIJIKKAN ?

Yang pasti , dalam tempoh setahun ini kita banyak beljar dari kesilapan. Sama ada datang dari lapangan atau dari kelas pengajian. Yang penting , kita dapat apa yang tak semua orang merasai keperitan pimpinan. Kita diherdik, dihina , dikeji , dicaci tidak ketinggalan kita dicemburui malah lebih teruk dari itu kita malah dimusuhi sedangkan kehadiran kita di persada ini untuk membantu mereka dalam menjalankan kerja dakwah ini. Bahkan , bukan sahaja di kalangan kita malah orang yang sepatutnya atau kita mengharapkan sokongannya dan kita membantu tugasnya meletakkan kesalahan pada kita , sedangkan kita bertungkus lumus, bersengkang mata untuk melaksanakan tanggungjawab. Tapi mungkin kita dianggap begitu kerana sikap segelintir kita yang tergamak memcemar imej MPP yang kita bina dengan wibawa tapi dihancurkan dengan selamba tanpa banyak bicara. Tidak sedar dibahunya di sandar amanah. Biarlah Tuhan sahaja menghitung amalannya.

Persoalan yang timbul , adakah kita menjijikan sehingga kita dihina seperti itu. Dan yang paling penting adakah kita rasa terhina dengan hinaan itu? Sebagai seorang manusia , mungkin kita akan rasa terhina dengan tohmahan itu. Terkedu sebentar , termenung mengenang dosa. Tapi adakah rasa kita terhina dengan tohmahan itu, adakah kita rasa terkesan dengan celaan, kecemburuan itu. Sepatutnya TIDAK. Kerana kita diajar untuk mendapat keredhaan Allah daripada redha manusia. Kita mahukan kasih sayang Allah bukan kasih syang manusia. Tapi mungkin kita masih diuji. Dan kita mesti berusaha untuk meningkatkan keimanan kita kepada Allah. Semuanya kita perlu yakin dan kita iltizam melakukan semuanya dengan semangat keikhlasan yang membara , kita serahkan semuanya kepada Allah s.w.t. Sesungguhnya janji Allah s.w.t itu tetap memberikan kemenangan (annasr) kepada hamba-hamba Nya yang berjuang pada jalannya dengan penuh keikhlasan , ketaqwaan dan kebijaksanaan. Allh s.w.t berfirman :

Maksudnya : ” Dan orang-orang yang berjihad untuk mencari keredhaan Kami, benar-benar akan ditunjukkan kepada mereka jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta dengan orang-orang yang berbuat baik”

Al Ankabut :69

AS SOLAH MOMENTUM AL FALAH ; KITA TIDAK BERSUNGGUH

Impian kita untuk menjadikan solat pemangkin kegemilangan , seakan gagal mencapai kecemerlangan. Ia sekadar membuktikan ketidak upayaan kita dalam menjana seluruh warga sekolah meletakkan solat sebagai momentum kecemerlangan. Kita mampu memberikan seribu macam alasan untuk tidak menjayakan iltizam ini kerana kitalah pencipta kilang alasan tersebut. Tidak dinafikan bahawa kegagalan ini merupakan kegagalan setiap sosok tubuh dalam sekolah ini. Kegagalan meletakkan perasaan kesegeraan ”senses of urgentness” terutama selepas habis waktu PNP (Solat Zohor) untuk semua pelajar ke surau untuk solat berjemaah adalah antara satu bukti kukuh memperlihatkan kelemahan kita. Malah kita sendiri sebagai badan yang meletakkan iltizam ini juga melengahkan dan menambahkan pertikaian orang terhadap kita. Ingat setiap tindak tanduk pimpinan diperhati malah kita seringkali menjadi bahan dombaan terutama pelajar-pelajar yang memang tak senang dengan peraturan sekolah namun seringkali menggunakan kita terutama dalam perkara-perkara yang meneronokkan seperti sukan dan permainan.

Kegagalan mempertahan dan memperteguhkan amalan budaya sekolah sehingga dominasi budaya-budaya kekurangajaran yang belum pernah kita dengari disekolah sepanjang empat tahun lepas berlaku. Kes kecurian , buli sering diketengahkan. Dan ini juga rentetan kegagalan mendaulatkan budaya ini di sekolah. Kuliyyah Tafaquh yang dihidangkan sekadar menjadi tatapan mereka yang mempunyai minat dan terpaksa menjadi pendengar. Tetapi bagi mereka yang punya alasan latihan , penat dan sebagainya, Mereka lari dari segala ini dan akhirnya teru hanyut dalam buaian mimpi. Kegagalan senior menjadi contoh tauladan yang baik dalam solat juga merupakan faktor utama. Seringkali diutarakan perumpamaan bahawa tiang elektrik yang lurus tidak akan menghasilkan bayang-bayang yang bengkok. Tetapi kalaulah bengkok tiang itu tidak hairanlah, natijahnya bengkolah bebayang itu. Kalaulah prestasi peperiksaan sering kali di analisa, ambillah sedikit masa untuk kita analisa bersama pencapaian kita dalam solat. Ingatlah bahawa kita telah dikurniakan Allah dengan segala nikmatnya tanpa henti. Bersyukurlah kepada Allah. Buktikan kesyukuran ini dengan ketaatan kita kepada Nya.Takut nanti apabila nikmat itu ditarik kita tergapai-gapai mencarinya kembali. Diletakkan hati kita sering gundah gulana. Takut kecurian, tkut kelaparan dan takut segalanya Seperti Firman Allah

Maksudnya : ” dan perumpamaan sebuah negeri yang aman tenteram, rezekinya datang melimpah ruah dari segenap tempat, tetapi dia tidak berterima kasihterhadap nikmat Allah. Sebab itu Allah merasakan kepada kelaparan dan ketakutan disebabkan perbuatan mereka”.
An-Nahl : 112

TERUSKAN PERJALANAN ; PERKUKUH IMPIAN

Selama mana kau di persada ini, gunakanlah sebaiknya pengalaman . Kerana setiap pengalaman yang dikutip adalah kutipan berharga yang tak setiap orang dapat merasainya. Selepas menjadi mantan nanti jangan khianati amanah yang pernah kau pikul , walau sebenarnya kau tak pernah ada rasa jiwa waktu memikulnya dahulu. Biarlah berlalu. Menjadi harapan untuk mantan nanti menunjukkan contoh terbaik walau kebiasaannya kita akan lihat karenah yang mungkin sama. Andalah penentunya . Tepuk dada tanya iman. Sebagai penasihat , saya tidak redha jika mantan sekelian mengkhianati peratutan sekolah. Biarpun tanpa jawatan. Tetapi teruslah menunjukkan contoh yang baik. Adalah sepatutnya , apabila semakin luas pengalaman, tinggi ilmu dan kemahuan semakin dekat kita dengan Tuhan.
Air melurut ke tepian mandi
Kembang berseri bunga senduduk
Elok diturut resmi padi
Semakin berisi semakin tunduk
Kemumu di tengah pekan
Dihembus angin jatuh ke bawah
Ilmu yang tidak diamalkan
Bagai pohon tidak berbuah

Tumbuh melata si pokok tebu
Pergi pasar membeli daging
Banyak harta tak ada ilmu
Bagai rumah tidak berdinding

Teruskan perjalanan kalian , SMA yang cemerlang dan SPM yang gemilang. Moga Tuhan memberkati perjuangan kalian. Bagi pihak , pengurusan MPP , saya memohon kemaafan jika ada kekurangan dalam didikan. Diri yang penuh kelmahan adalh pengembara diperjalan , teringat bait-bait kata As-syahid Imam Hassan Al-Bana :

“Saya adalah seorang pelancong yang sedang mencari kebenaran, manusia yang mencari petunjuk ditengah kerumunan manusia, rakyat yang mengidamkan kemuliaan negaranya, kebebasan, ketenangan dan kehidupan yang sejahtera dibawah naungan Islam yang suci, saya seorang hamba yang mengenal tujuan hidup, “Sesungguhnya shalatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah karena Allah Tuhan semesta alam, tiada sekutu bagi-Nya dan dengan demikian Aku diperintahkan dan Aku termasuk orang yang pertama muslim”. (Al-An’am : 162-163). Inilah saya, lalu siapakah anda?”




FAJAR PASTI MENYISING

Sekali lagi sebagi khatimah. Semalam adalah kenangan, Hari ini adalah kenyataan, Esok adalah harapan.. Tuhan lebih tahu apa yang disuratkan yang pasti hari ini adalah akhiran perjalanan. Sambungan apa yang pernah, diharapkan. Apa yang sepatutnya ditangguhkan, apa yang sekadar menjadi igauan. Jawatan ini bukanlah kita impikan ia sekadar nama kebertanggungjawaban kita pada ummah. Setiap langkah , lafaz, perbuatan semua atas Tuhan yang menentukan. Biar kain kafan nanti berganti dengan lembaran kuning yang kita sering balutkan di badan harapan agar apa yang kita pernah lakukan ini, adalah jawapan bagi soalan ” di mana umur kau habiskan?” Tuhan mengerti apa yang kita lakukan adalah untukNya. Kerana kita telah berjanji setia berpadu di naungan makrifah dan berazam mendaulat Syariah Nya.

Ya Tuhan, ini persembahan yang kami lakukan untuk Mu. Moga harapan hari ini akan kau kabulkan hari esok. Mungkin duri hari ini adalah bunga hari esok dan ulat hari ini adalah rama-rama yag menghias dunia. Berlarilah, Terbanglah semuanya kerana kalianlah harapan buat ummah di penangguhan yang cukup membebankan. Moga kita tergolong dalam pemuda kahfi yang diberi petunjuk oleh Allah dan kukuh dengan prinsip dasar perjuangan.

Renungilah pesan seorang ulama’ Melayu nusantara, Raja Ali Haji bin raja Ahmad ( 1808 – 1873 )

Barang siapa khianat akan dirinya,
Apalagi kepada lainnya
Kepada dirinya ia aniaya
Orang itu jangan engkau percaya
Orang yang suka menampakkan jasa
Setengah syirik mengaku kuasa

Kejahatan diri sembunyikan
Kebaikan diri diamkan

Keaiban orang jangan dibuka
Keaiban diri hendaklah sangka

Tahu pekerjaan tak baik tapi dikerjakan
Bukannya manusia iaitulah syaitan

Hendaklah berjasa
Kepada yang sebangsa

Hendaklah jadi kepala
Buang perangai yang cela

Hendaklah memegang amanat
Buang khianat

Hendaklah marah
Dahulukan hujah

Hendak dimalui
Jangan memalui
Hendak ramai
Murahkan perangai

Gurindam 12 Gubahan Raja Ali Haji ; 1263H, Pulau Penyengat, Riau

Syukran wa jazakumullah kahirujaza’
Wassalamualaikum wrt wbt

1 comment:

SumayyAh Bt Haji Amin0din said...

still simpan text sir bagi..
go chayok mpp
pray 4 us..
got spm with flying colour..
tabik sir!