Sunday, September 13, 2009

SELAMAT BERJUANG


Mantan MPP 2008/2009

Malam siang berlalu
Gerhana kesayuan
Tiada berkesudahan

Detik masa berlalu
Tiada berhenti
Oh syahdunya

Sejenak ku terkenang
Hakikat perjuangan
Penuh onak dan cabalan

Bersama teman - teman
Arungi kehidupan
Oh indahnya o ooo

Berat rasanya
Didalam jiwa
Untuk melangkah
meninggalkan semua

Kasih dan cinta
Yang terbina
Diakan selamanya
O ooo

Slamat berjuang sahabatku
Semoga Alloh berkatimu
Kenangan indah bersamamu
Takkan kubiar dia berlalu
Berjuanglah hingga ke akhirnya
Dan ingatlah semua ikrar kita

Hati ini sayu mengenangkan
Sengsara di dalam perjuangan
Jiwa ku merana dan meronta mengharapkan
Kedamaian dan jua ketenangan wo uwo

Tetapi kuatur pada hakikat
Suka dan duka dalam perjuangan
Perlu ketabahan dan kekuatan
Keteguhan hati berlandaskan iman

Slamat berjuang sahabatku(sahabatku)
Semoga Alloh berkatimu (berkatimu)
Kenangan indah bersamamu (bersamamu)
Takkan kubiar dia berlalu (ooooo)
Berjuanglah hingga ke akhirnya
Dan ingatlah (ingatlah) semua ikrar kita

O o ohooo ho o ohooo

Thursday, September 10, 2009

KALAM AKHIR 2009




KALAM AKHIR
PERSIDANGAN PENANGGUHAN MPP 2008/2009
Bilik Gerakan Sekolah
11 September 2009 - Jumaat
oleh
Khairudin bin Abas
Penasihat MPP 2008/2009

Assalamualaikum wrt wbt
Presiden,Timbalan Presiden,Naib-naib presiden
Setiausaha kehormat dan penolongnya,Bendahari kehormat dan penolongnya,Dan ahli-ahli Majlis Eksekutif sekelian

Firman Allah Taala ;

“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka yang benar : sesungguhnya mereka ituorang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahi mereka dengan hidayah dan petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka ( dengan kesabaran dan keberanian) , semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata : “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan menatdbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali menyembah tuhan yang lain daripada Nya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh daripada kebenaran”

Surah Al-Kahfi :13-14

Tidak ada ungkapan dan kalimah untuk kita lafazkan selain daripada merafakkan rasa tasyakkur yang setulus dan sekudusnya ke hadrat ilahi yang mengizinkan kita bertemu dan berkumpul di persidangan penangguhan yang penuh bermakna ini di usia Majlis Pimpinan Pelajar 2008/2009 yang kian lanjut dan kini sudahpun menginjak detik senja dalam babak-babak perjuangan. Tahniah dan syabas moga-moga janji Allah pada mereka yang berjuang dijalannya akan kita rasai. Dan bagi kita yang berjuang di jalanNya, janganlah ada rasa kecewa walaupun kita seakan tidak mampu melaksanakan apa yang dipertanggungjawabkan. Namun percaya atau tidak apa yang ditanya oleh Tuhanmu nanti ialah “ Buat atau tidak bukan berjaya atau tidak”.

PERJUANGAN TIDAK PERNAH BERAKHIR MALAH IA SENTIASA BARU BERMULA

Dalam perjalanan yang cukup panjang kita bersama dari malam pertama kalian dipanggil untuk belajar memikul amanah ini , dari sesi mentor mentee yang amat menggetarkan dibilik gerakan sekolah, kemudian disulami dengan hari pembubaran MPP 2008/2009 dan mulai hari itulah bermula tangisanmu sebagai pimpinan di SAM BBST yang dikasihi ini. Mengapa tangisan ini mengalir setiap kali pimpinan baru bertukar wajah , sebagai hamba Tuhan yang kerdil ini, tidak menjadi kehinaan untuk menjadi tukang mengelap air mata pimpinan, bagi hamba ini, air mata ini perlu terus dialirkan kerana ia adalah air mata suci seorang wira wirawati yang tekal belajar erti pahit manis perjuangan di medan dakwah.

.
KITA YANG MENJIJIKKAN ?

Yang pasti , dalam tempoh setahun ini kita banyak beljar dari kesilapan. Sama ada datang dari lapangan atau dari kelas pengajian. Yang penting , kita dapat apa yang tak semua orang merasai keperitan pimpinan. Kita diherdik, dihina , dikeji , dicaci tidak ketinggalan kita dicemburui malah lebih teruk dari itu kita malah dimusuhi sedangkan kehadiran kita di persada ini untuk membantu mereka dalam menjalankan kerja dakwah ini. Bahkan , bukan sahaja di kalangan kita malah orang yang sepatutnya atau kita mengharapkan sokongannya dan kita membantu tugasnya meletakkan kesalahan pada kita , sedangkan kita bertungkus lumus, bersengkang mata untuk melaksanakan tanggungjawab. Tapi mungkin kita dianggap begitu kerana sikap segelintir kita yang tergamak memcemar imej MPP yang kita bina dengan wibawa tapi dihancurkan dengan selamba tanpa banyak bicara. Tidak sedar dibahunya di sandar amanah. Biarlah Tuhan sahaja menghitung amalannya.

Persoalan yang timbul , adakah kita menjijikan sehingga kita dihina seperti itu. Dan yang paling penting adakah kita rasa terhina dengan hinaan itu? Sebagai seorang manusia , mungkin kita akan rasa terhina dengan tohmahan itu. Terkedu sebentar , termenung mengenang dosa. Tapi adakah rasa kita terhina dengan tohmahan itu, adakah kita rasa terkesan dengan celaan, kecemburuan itu. Sepatutnya TIDAK. Kerana kita diajar untuk mendapat keredhaan Allah daripada redha manusia. Kita mahukan kasih sayang Allah bukan kasih syang manusia. Tapi mungkin kita masih diuji. Dan kita mesti berusaha untuk meningkatkan keimanan kita kepada Allah. Semuanya kita perlu yakin dan kita iltizam melakukan semuanya dengan semangat keikhlasan yang membara , kita serahkan semuanya kepada Allah s.w.t. Sesungguhnya janji Allah s.w.t itu tetap memberikan kemenangan (annasr) kepada hamba-hamba Nya yang berjuang pada jalannya dengan penuh keikhlasan , ketaqwaan dan kebijaksanaan. Allh s.w.t berfirman :

Maksudnya : ” Dan orang-orang yang berjihad untuk mencari keredhaan Kami, benar-benar akan ditunjukkan kepada mereka jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta dengan orang-orang yang berbuat baik”

Al Ankabut :69

AS SOLAH MOMENTUM AL FALAH ; KITA TIDAK BERSUNGGUH

Impian kita untuk menjadikan solat pemangkin kegemilangan , seakan gagal mencapai kecemerlangan. Ia sekadar membuktikan ketidak upayaan kita dalam menjana seluruh warga sekolah meletakkan solat sebagai momentum kecemerlangan. Kita mampu memberikan seribu macam alasan untuk tidak menjayakan iltizam ini kerana kitalah pencipta kilang alasan tersebut. Tidak dinafikan bahawa kegagalan ini merupakan kegagalan setiap sosok tubuh dalam sekolah ini. Kegagalan meletakkan perasaan kesegeraan ”senses of urgentness” terutama selepas habis waktu PNP (Solat Zohor) untuk semua pelajar ke surau untuk solat berjemaah adalah antara satu bukti kukuh memperlihatkan kelemahan kita. Malah kita sendiri sebagai badan yang meletakkan iltizam ini juga melengahkan dan menambahkan pertikaian orang terhadap kita. Ingat setiap tindak tanduk pimpinan diperhati malah kita seringkali menjadi bahan dombaan terutama pelajar-pelajar yang memang tak senang dengan peraturan sekolah namun seringkali menggunakan kita terutama dalam perkara-perkara yang meneronokkan seperti sukan dan permainan.

Kegagalan mempertahan dan memperteguhkan amalan budaya sekolah sehingga dominasi budaya-budaya kekurangajaran yang belum pernah kita dengari disekolah sepanjang empat tahun lepas berlaku. Kes kecurian , buli sering diketengahkan. Dan ini juga rentetan kegagalan mendaulatkan budaya ini di sekolah. Kuliyyah Tafaquh yang dihidangkan sekadar menjadi tatapan mereka yang mempunyai minat dan terpaksa menjadi pendengar. Tetapi bagi mereka yang punya alasan latihan , penat dan sebagainya, Mereka lari dari segala ini dan akhirnya teru hanyut dalam buaian mimpi. Kegagalan senior menjadi contoh tauladan yang baik dalam solat juga merupakan faktor utama. Seringkali diutarakan perumpamaan bahawa tiang elektrik yang lurus tidak akan menghasilkan bayang-bayang yang bengkok. Tetapi kalaulah bengkok tiang itu tidak hairanlah, natijahnya bengkolah bebayang itu. Kalaulah prestasi peperiksaan sering kali di analisa, ambillah sedikit masa untuk kita analisa bersama pencapaian kita dalam solat. Ingatlah bahawa kita telah dikurniakan Allah dengan segala nikmatnya tanpa henti. Bersyukurlah kepada Allah. Buktikan kesyukuran ini dengan ketaatan kita kepada Nya.Takut nanti apabila nikmat itu ditarik kita tergapai-gapai mencarinya kembali. Diletakkan hati kita sering gundah gulana. Takut kecurian, tkut kelaparan dan takut segalanya Seperti Firman Allah

Maksudnya : ” dan perumpamaan sebuah negeri yang aman tenteram, rezekinya datang melimpah ruah dari segenap tempat, tetapi dia tidak berterima kasihterhadap nikmat Allah. Sebab itu Allah merasakan kepada kelaparan dan ketakutan disebabkan perbuatan mereka”.
An-Nahl : 112

TERUSKAN PERJALANAN ; PERKUKUH IMPIAN

Selama mana kau di persada ini, gunakanlah sebaiknya pengalaman . Kerana setiap pengalaman yang dikutip adalah kutipan berharga yang tak setiap orang dapat merasainya. Selepas menjadi mantan nanti jangan khianati amanah yang pernah kau pikul , walau sebenarnya kau tak pernah ada rasa jiwa waktu memikulnya dahulu. Biarlah berlalu. Menjadi harapan untuk mantan nanti menunjukkan contoh terbaik walau kebiasaannya kita akan lihat karenah yang mungkin sama. Andalah penentunya . Tepuk dada tanya iman. Sebagai penasihat , saya tidak redha jika mantan sekelian mengkhianati peratutan sekolah. Biarpun tanpa jawatan. Tetapi teruslah menunjukkan contoh yang baik. Adalah sepatutnya , apabila semakin luas pengalaman, tinggi ilmu dan kemahuan semakin dekat kita dengan Tuhan.
Air melurut ke tepian mandi
Kembang berseri bunga senduduk
Elok diturut resmi padi
Semakin berisi semakin tunduk
Kemumu di tengah pekan
Dihembus angin jatuh ke bawah
Ilmu yang tidak diamalkan
Bagai pohon tidak berbuah

Tumbuh melata si pokok tebu
Pergi pasar membeli daging
Banyak harta tak ada ilmu
Bagai rumah tidak berdinding

Teruskan perjalanan kalian , SMA yang cemerlang dan SPM yang gemilang. Moga Tuhan memberkati perjuangan kalian. Bagi pihak , pengurusan MPP , saya memohon kemaafan jika ada kekurangan dalam didikan. Diri yang penuh kelmahan adalh pengembara diperjalan , teringat bait-bait kata As-syahid Imam Hassan Al-Bana :

“Saya adalah seorang pelancong yang sedang mencari kebenaran, manusia yang mencari petunjuk ditengah kerumunan manusia, rakyat yang mengidamkan kemuliaan negaranya, kebebasan, ketenangan dan kehidupan yang sejahtera dibawah naungan Islam yang suci, saya seorang hamba yang mengenal tujuan hidup, “Sesungguhnya shalatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah karena Allah Tuhan semesta alam, tiada sekutu bagi-Nya dan dengan demikian Aku diperintahkan dan Aku termasuk orang yang pertama muslim”. (Al-An’am : 162-163). Inilah saya, lalu siapakah anda?”




FAJAR PASTI MENYISING

Sekali lagi sebagi khatimah. Semalam adalah kenangan, Hari ini adalah kenyataan, Esok adalah harapan.. Tuhan lebih tahu apa yang disuratkan yang pasti hari ini adalah akhiran perjalanan. Sambungan apa yang pernah, diharapkan. Apa yang sepatutnya ditangguhkan, apa yang sekadar menjadi igauan. Jawatan ini bukanlah kita impikan ia sekadar nama kebertanggungjawaban kita pada ummah. Setiap langkah , lafaz, perbuatan semua atas Tuhan yang menentukan. Biar kain kafan nanti berganti dengan lembaran kuning yang kita sering balutkan di badan harapan agar apa yang kita pernah lakukan ini, adalah jawapan bagi soalan ” di mana umur kau habiskan?” Tuhan mengerti apa yang kita lakukan adalah untukNya. Kerana kita telah berjanji setia berpadu di naungan makrifah dan berazam mendaulat Syariah Nya.

Ya Tuhan, ini persembahan yang kami lakukan untuk Mu. Moga harapan hari ini akan kau kabulkan hari esok. Mungkin duri hari ini adalah bunga hari esok dan ulat hari ini adalah rama-rama yag menghias dunia. Berlarilah, Terbanglah semuanya kerana kalianlah harapan buat ummah di penangguhan yang cukup membebankan. Moga kita tergolong dalam pemuda kahfi yang diberi petunjuk oleh Allah dan kukuh dengan prinsip dasar perjuangan.

Renungilah pesan seorang ulama’ Melayu nusantara, Raja Ali Haji bin raja Ahmad ( 1808 – 1873 )

Barang siapa khianat akan dirinya,
Apalagi kepada lainnya
Kepada dirinya ia aniaya
Orang itu jangan engkau percaya
Orang yang suka menampakkan jasa
Setengah syirik mengaku kuasa

Kejahatan diri sembunyikan
Kebaikan diri diamkan

Keaiban orang jangan dibuka
Keaiban diri hendaklah sangka

Tahu pekerjaan tak baik tapi dikerjakan
Bukannya manusia iaitulah syaitan

Hendaklah berjasa
Kepada yang sebangsa

Hendaklah jadi kepala
Buang perangai yang cela

Hendaklah memegang amanat
Buang khianat

Hendaklah marah
Dahulukan hujah

Hendak dimalui
Jangan memalui
Hendak ramai
Murahkan perangai

Gurindam 12 Gubahan Raja Ali Haji ; 1263H, Pulau Penyengat, Riau

Syukran wa jazakumullah kahirujaza’
Wassalamualaikum wrt wbt

Thursday, August 20, 2009

KENANGAN 2006-Perjalanan Yang Memenatkan; Keluhan Seorang Penasihat MPP 06


Perjalanan Yang Memenatkan; Keluhan Seorang Penasihat MPP 06

Anakku
Mungkin ini kali terakhir...
Aku akan menatap wajah kalian
Yang dulu
Saban hari bermain di depan mataku
Kalau tidakpun
Nama kalian sering kali kutitipkan
Dalam doa rabitah yang sering kali aku baca
Saban pagi

Anakku
Perjalanan ini memang memenatkan
Buat seorang yang seringkali
Meletakkan hatinya pada kalian
Walau sedar perjalanan ini
Hanya satu persinggahan yang sebentar dalam perjalanan yang cukup panjang

Masih segar dalam ingatan
Tiap tingkah kalian
Yang benar-benar buatku terhibur
Azwad dengan ketenangannya
Pali dengan perasaaanya
Aya dengan hatinya
Ena dengan tawanya
Azman dengan hikmahnya
Zakuan dengan misterinya
Mai dengan keluhannya
Ishak dengan sabarnya
Amal dengan malunya
Anis dengan manjanya
Tak lupa malah sukar kulupakan
Adik dengan kepetahannya
Fatimah dengan dakwahnya
Akoi dengan nakalnya
Mamee dengan jiwanya
Razi dengan diamnya
Najee dengan kerajinannya
Naufal dengan keterlewatanya
Nana dengan suaranya
Anis dengan egonya
Adha dengan kelembutannya
Azam dengan perutnya
Dija dengan ’bibik’nya
Along dengan karenahnya
Hasnidah dengan air matanya
Khairi dengan ketaatannya
Laily dengan kebisingannya
Kenangan yang kalian tinggalkan
Tetap sarat, padat ,kukuh terpahat dalam ingatan
Walau sesungguhnya ia amat penat
Untuk digambarkan

Anakku
Teruskanlah perjalanan kalian
Ingatlah persinggahan ini pernah kau tapakkan kakimu
Perjalanan yang akan kalian lalui nanti penuh dugaan
Biar nanti semua ini buat pedoman Dan waktu kalian akan memahami
Apa yang pernah kukatakan
Pada kalian

Sekali lagi...
Anakku
Mungkin ini kali terakhir...
Aku akan menatap wajah kalian
Yang dulu
Saban hari bermain di depan mataku
Kalau tidakpun
Nama kalian sering kali kutitipkan
Dalam doa rabitah yang sering kali aku baca
Saban pagi
Namun percaya
Walau wajah kalian jauh disudut mataku
Tapi setiap butir nama kalian akan tetap
Kutitip dalam doa rabitahku
Agar nanti ikatan hati ini
Akan kekal selama-lamanya....Amin....



Suara Hati ;

Ayahanda
Villa Barkah
Sesudah subuh
7 Disember 2006M
16 Zulkaedah 1427H

KENANGAN ; KALAM AKHIR 2008

KALAM AKHIR……….
PERSIDANGAN PENANGGUHAN MPP 2007/2008
Bilik Gerakan Sekolah
28 Ogos 2008
oleh
Khairudin bin Abas
Penasihat MPP 2006/2007

Assalamualaikum wrt wbt
Presiden
Timbalan Presiden
Naib-naib presiden
Setiausaha kehormat dan penolongnya
Bendahari kehormat dan penolongnya
Dan ahli-ahli Majlis Eksekutif sekelian


Firman Allah Taala ;

“Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perumpamaan iaitu: Kalimah yang baik (kalimah tauhid) adalah seperti sebatang pokok yang baik , yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit . Pohon-pohon itu mengeluarkan buahnya setiap musim dengan izin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan untuk manusia , supaya mereka beringat”

Surah Ibrahim : 24-25

Tidak ada ungkapan dan kalimah untuk kita lafazkan selain daripada merafakkan rasa tasyakkur yang setulus dan sekudusnya ke hadrat ilahi yang mengizinkan kita bertemu dan berkumpul di persidangan penangguhan yang penuh bermakna ini di usia Majlis Pimpinan Pelajar 2007/2008 yang kian lanjut dan kini sudahpun menginjak detik senja dalam babak-babak perjuangan. Tiga ratus tujuh belas hari..merupakan satu jangkauan umur yang penuh terisi dengan seribu satu perjalanan suka duka, padat disulami dengan titik peluh, jerih payah, senyum tangis dalam usaha membangun kesedaran diri dan pelajar di Sekolah Agama Menengah Bandar Baru Salak Tinggi ini.

Sesungguhnya perjalanan ini memang cukup memenatkan..lagi-lagi bagi sebahagian daripada kalian yang cukup antusias dengan tugas yang diberikan. Tahniah dan syabas moga-moga janji Allah pada mereka yang berjuang dijalannya akan kita rasai. Dan bagi kita yang berjuang di jalanNya, janganlah ada rasa kecewa walaupun kita seakan tidak mampu melaksanakan apa yang dipertanggungjawabkan.. namun percaya atau tidak apa yang ditanya oleh Tuhanmu nanti ialah “ Buat atau tidak bukan berjaya atau tidak”.

Berakhirnya Sebuah Perjalanan ; Bermula sebuah Pengembaraan yang Panjang

Anakku, izinkan kalam akhir kali ini lebih bernada nyaman dan santun, Tidak bersemangat seperti biasa mungkin kerana kali ini lebih rasa noltagiknya perjalanan dalam jatuh bangun sekolah yang amat kita kasihi dan sayangi ini, Madrasati Baiti, Baiti Jannati. SAM BBST.

Anakku
Dalam perjalanan yang cukup panjang kita bersama dari malam pertama kalian dipanggil untuk belajar memikul amanah ini , dari sesi mentor mentee yang amat menggetarkan dibilik gerakan sekolah, kemudian disulami dengan hari pembubaran MPP 2006/2007 dan mulai hari itulah bermula tangisanmu sebagai pimpinan di SAM BBST yang dikasihi ini. Mengapa tangisan ini mengalir setiap kali pimpinan baru bertukar wajah , sebagai hamba Tuhan yang kerdil ini, tidak menjadi kehinaan untuk menjadi tukang mengelap air mata pimpinan, bagi hamba ini, air mata ini perlu terus dialirkan kerana ia adalah air mata suci seorang wira wirawati yang tekal belajar erti pahit manis perjuangan di medan dakwah. Maha Suci Tuhan , wira dan wira wati ini di depan mata hamba Mu kini akan meninggalkan lagi satu medan dakwah dan akan mengembara ke satu daerah yang mungkin asing bagi mereka. Namun, Tuhanku, hamba Mu yang kerdil ini percaya , Wira , wirawati ini ibarat pengembara yang telah hamba siapkan dengan bekalan di dalam kelok sampannya , ditangannya dayung yang hamba ukir dengan teladan diperbuat dari kayu cengal kukuh agar tak patah di pertengahan kembara perjalanan.

DOA RABITAH ; PENGIKAT HATI NURANI
Anakku,
Setiap kali hadir Ogos dalam kalendar masehi, setiap kali itu , hati ini cukup bergetar. Mungkin kerana terasa kehilangan anak tersayang walau akan ada pengganti yang datang namun patah ranting berganti tunas manakan sama ranting yang jatuh berguguran kering kelayuan. Yang penting setiap kali doa rabitah di baca, dalam sendu ketika lafaz fawasyiqillahumma rabitataha...terbayang setiap wajah seluruh generasi Mpp dari generasi awal hingga ke generasi mendatang. Mengharapkan kukuh ikatan hati dan tarbiyyah buat kalian sekelian. Gagal membentuk kalian memberi makna besar dosa yang terpikul. Melihat kalian melangkah gagah ke persada luas adalah kepuasan yang amat mendalam. Buat seorang pejuang yang berikrar mewakafkan umur di medan yang sangat terkesan.

SEKADAR PERINGATAN…. PASCA KEPIMPINAN

Sepanjang tiga ratus tujuh belas hari ini, moga-moga ada perubahan yang menjalar didalam diri kalian. Moga perubahan itu lebih bersifat positif yang mendatang. Namun alangkah malangnya bagi kita yang berada bersama dibarisan pimpinan tetapi gagal untuk merubah diri malah dilihat lebih teruk berbanding mereka yang tidak berada dalam pimpinan. Tetapi tidak dinafikan bagi mereka yang benar-benar menghayati tanggungjawab kepimpinan dengan sikap mandiri yang ampuh kematangan berfikir, strategi berfikir dan pengawalan emosi yang baik akan memberikan pengalaman yang cukup berharga bagi kelian mengahadapi hari yang mendatang nanti. Tetapi cukup malang, jika anda teruskan sikap melempem, lewa dan mudah. Teruskan kecemerlangan kalian semasa memimpin, turun cepat, berdisiplin, semangat. Anakku jangan sekali kau ubah apa yang kau telah lakukan. Teruskan iltizammu, teruskan ikutan mu. Ingatlah kaukan terus memerhati adik-adikmu ini dalam satu wadah wadah penasihat MPP. Biar gugur jawatan, tapi serban tetap terlilit kemas tanda perjuangan belum kehabisan. Ingatlah kisah khalid ketika umar menukarkan beliau daripada panglima perang, khalid tak pernah berubah impian untuk terus mati syahid di lapangan peperangan.
TERUSKAN PERJUANGAN ; GENERASI PEWARIS MUTLAK

Anakku.
Di darsawarsa kepayahan dakwah ini, kita terhimpit dengan pelbagai mehnah yang mendatang. Yang pasti generasi seterusnya adalah generasi yang benar-benar merasai dan menghadami pahit maung jatuh bangun SAM BBST. Biar baru empat tahun di persada pendidikan tanah air, namun kita rasa cukup dimatangkan dengan cabaran dan ujian. Generasi yang perlul di didik berjiwa besar dan sudah sampai masa untuk SAM BBST berlari selajunya. Ingat pemimpin yang hebat bukan sekadar mewariskan kehebatan tetapi melahirkan generasi pelapis yang jauh lebih hebat dan kukuh di persada impian ini.

ESOK ADALAH HARAPAN ; PENERUS IMPIAN

Semalam adalah kenangan, Hari ini adalah kenyataan, Esok adalah harapan.. Tuhan lebih tahu apa yang disurakan yang pasti hari ini adalah akhiran perjalanan. Sambungan apa yang pernah, diharapkan. Apa yang sepatutunya ditangguhkan, apa yang sekadar menjadi igauan. Jawatan ini bukanlah kita impikan ia sekadar nama kebertanggungjawaban kita pada ummah. Setiap langkah , lafaz, perbuatan semua atas tuhan yang menentukan. Biar kain kafan nanti berganti dengan lembaran kuning yang kita sering balutkan di badan harapan agar apa yang kita pernah lakukan ini, adalah jawapan bagi soalan ” di mana umur kau habiskan?” Tuhan mengerti apa yang kita lakukan adalah untukNya. Kerana kita telah berjanji setia berpadu di naungan makrifah dan berazam mendaulat Syariah. Ya Tuhan, ini persembahan yang kami lakukan untuk Mu. Moga harapan hari ini akan kau kabulkan hari esok. Mungkin duri hari ini adalah bunga hari esok dan ulat hari ini adalah rama-rama yag menghias dunia. Berlarilah, Terbanglah anakku kerana kalianlah harapan buat ummah di penangguhan yang cukup membebankan. Syukran wa jazakumullah kahirujaza’

Wassalamualaikum wrt




Perjalanan Yang Memenatkan 3; Perjuangan Masih Belum Ternoktah........

Anakku…
Kenapa mungkin
Setiap kali Ogos menyapa
Hati ini sering terimbau
Ogos terlalu nostalgik buat Perjuangan
Ibaratnya satu perjalanan
Setiap kali silih berganti penumpang
Namun pemandunya tetap satu
Sambil menyedari
Perjuangan ini belum ada noktah...dan mungkin akan terus
Hingga dua tapak kaki ini melangkah ke syurga Allah...
Amin

Perjalanan ini…
Seperti semalam
perjalanan yang memang memenatkan..
Lebih-lebih lagi
Buat seorang yang seringkali
Meletakkan hatinya pada kalian
Walau sedar perjalanan ini
Hanya satu persinggahan yang sebentar dalam perjalanan yang cukup panjang

Ya Allah
Kau lebih mengerti bila tangan menadah di bawah lembayung
Runtutan sayup rabitah dibibir
Bila mata terpejam di bibit ” Fawasiqillahumma Rabitataha...”
Terhenti dan terbayang setiap wajah
Sebasah lidah menyebut dan menyeru nama kalian
Zulhilmi Badrusham , Azim Muiz Abu Bakar , Najwa Arifah, Assyakirin Azhari
Nabil Syahmi, Asma’ Syahifah, Mohd Fahmi, Asyikin Rahman, Halitun Saadiah, Amirul Sukemi, Asraf Alias, Nur Mardhiah, Adib Farhan , Ain Manap, Nazri , Syikin Jamali, Aizad , Shikin Arof, Raja Mohd Hanafi, Fatin Syahirah, Basyir, Fara dilla, Akmal Zam, Nurul Aini, Azzrul, Izzah, Fazli, Balqis
Moga terus hidup suburkan dengan makrifahNya

Ya Tuhan
Restuilah perjalanan ini
Moga segala bakal menjanjikan kemanisan untuk ummah
Dan ...sesungguhnya ia takkan ternoktah
Hingga dua tapak kaki ini melangkah ke syurga Allah...
Amin

KENANGAN ; KALAM AKHIR 2007

KALAM AKHIR……….

PERSIDANGAN PENANGGUHAN MPP 2006/2007
20 SEPTEMBER 2007

oleh
Khairudin bin Abas
Penasihat MPP 2006/2007

Assalamualaikum wrt wbt

Presiden
Timbalan Presiden
Naib-naib presiden
Setiausaha kehormat dan penolongnya
Bendahari kehormat dan penolongnya
Dan ahli-ahli Majlis Eksekutif sekelian

Tidak ada ungkapan dan kalimah untuk kita lafazkan selain daripada merafakkan rasa tasyakkur yang setulusnya dan sekudusnya ke hadrat ilahi yang mengizinkan kita bertemu dan berkumpul di persidangan penangguhan yang penuh bermakna ini di usia Majlis Pimpinan Pelajar 2006/2007 yang kian lanjut dan kini sudahpun menginjak detik senja dalam babak-babak perjuangan. Satu tahun dua puluh hari..merupakan satu jangkauan umur yang penuh terisi dengan seribu satu perjalanan suka duka, padat disulami dengan titik peluh, jerih payah, senyum tangis dalam usaha membangun kesedaran diri dan pelajar di Sekolah Agama Menengah Bandar Baru Salak Tinggi ini.

BERAKHIRNYA SUATU PERJALANAN…

Malam orang sedang asyik menikmati tayangan Leftenan Adnan 30 Ogos 2006, kalian ditarik satu persatu. Sedang orang lain asyik menyambut tanggal kemerdekaan ke 49, kalian masih lagi terkejut seakan menerima bebanan. Tanggal 1 September 2006 yang lalu, kalian disahkan jawatan menggalas satu lagi tugas yang mungkin mulia dipandang mata , tapi jerih, payah dan “kehinaan”nya hanya kita yang tahu..berat mata memandang, berat lagi mata yang memikul..

Sesungguhnya perjalanan ini memang cukup memenatkan..lagi-lagi bagi sebahagian daripada kalian yang cukup antusias dengan tugas yang diberikan. Bagi mereka yang hanya duduk melihat dan mahu meraih populariti dan mesra rakan yang mereka tidak sedari perbuatan bentrok mereka hanya merugikan mereka. Hanya kerana penghormatan manusia yang diraih, hormat Allah pada mereka dilepaskan. Tetapi bagi mereka yang antusias menjalani perjalanan ini.. tahniah dan syabas moga-moga janji Allah pada mereka yang berjuang dijalannya akan kita. Dan bagi kita yang berjuang di jalanNya, janganlah da rasa kecewa walaupun kita seakan tidak mampu melaksanakan apa yang dipertanggungjawabkan.. namun percaya atau tidak apa yang ditanya oleh Tuhanmu nanti ialah “ Buat atau tidak bukan berjaya atau tidak”. Bagi yang bersungguh percayalah pada kalam Tuhanmu..

“Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang yang beriman…”
Ali Imran : 139

SEKADAR PERSOALAN…. PASCA KEPIMPINAN

Sepanjang setahun dua puluh hari ini, moga-moga ada perubahan yang menjalar didalam diri kalian. Moga perubahan itu lebih bersifat positif yag mendatang. Namun alangkah malangnya bagi kita yang berada bersama dibarisan pimpinan tetapi gagal untuk merubah diri malah dilihat lebih teruk berbanding mereka yang tidak berada dalam pimpinan. Tetapi tidak dinafikan bagi mereka yang benar-benar menghayati tanggungjawab kepimpinan dengan sikap mandiri yang ampuh kematangan berfikir, strategi berfikir dan pengawalan emosi yang baik akan memberikan pengalaman yang cukup berharga bagi kelian mengahadapi hari yang mendatang nanti. Tetapi cukup malang, jika anda teruskan sikap melempem, lewa dan mudah , masih lagi bermain takraw yang konon-kononnya itulah permainan yang paling mahir, hingga jam yang melampau .. masih lagi turun lambat , meminta kunci, masih lagi selekeh berpakaian, membawa barang larangan,malah bangga apabila diminta bermain catur digelanggang yang salah.. “Don’t try this at home” katanya, malah apa yang ditakuti pasca kepimpinan ini, kalian akan mengulangi apa yang mantan dulu lakukan..mungkin kerana dendam kesumat apa yang telah diperlakukan mereka keatas kalian. Namun apa yang pasti tiada perubahan dan agenda kita untuk melihat budaya pertukaran pimpinan pada setiap September hanya akan berkubur. Berubahlah .. ingatlah firman Tuhanmu..

“Sesungguhnya Allah tidak akan merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.”
Surah Ar-Ra’d : 11


Hentikanlah pertikaian siapa yang mengisi jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden , ketua asrama puteri, setiausaha dan sebagainya. Itu semua adalah keputusan yang dibuat secara syura dan percaya atau tidak didalam keputusan syura tiada keputusan yang salah, sama ada tepat atau kurang tepat. Tiada keputusan yang salah , malah setiap keputusan yang tepat akan diberikan dua ganjaran dan yang kurang tepat satu ganjaran. Jika sekadar mempertikaikan keputusan syura ini hanya kesalahan yang boleh diperbaiki cerminlah diri, tepuklah dada tanya imanmu.. sebagai penasihatpun .. saya tidak mampu untuk mempertikaikan keputusan perlantikan MPP-MPP yang lalu. Setiap pemilihan ini ada hikmahnya. Setiap entity MPP yang dipilih ada peranan dan fungsinya. Taat dengan ketaatanya. Rajin dengan kerajinannya. Nakal dengan kenakalannya. BukaNkah MPP ini juga tempat untuk berubah. Lupakah kalian dengan cogan ASLIH NAFSAK WAD’U GHAIRAK, perbaiki dirimu dan serulah orang lain. Berilah mereka ruang dan peluang untuk berubah seperti mana yang kamu dapat lakukan selama satu tahun dua puluh hari yang lalu.



HARAPAN DAN IMPIAN

Yang pasti satu ratus dua puluh hari yang berlalu ini, tidak akan berulang. Sewaktu awal dulu tanggal 29 Ogos 2006 waktu menerima senarai baru MPP 2006/2007 saya amat positif untuk menangani apa jua bentuk mehna dan tribulasinya. Begitulah bila saya diterima menjadi guru… jawatan ini bukan untuk cari makan di dunia tapi ialah penentu tempat man saya di akhirat kelak. Membangun modal insane gemilang bukan stu permainan di gelanggang , tapi mempertaruhkan dunia seisinya di depan mata. Sama ada benih-benih yang dihasilkan ini mampu berjaya dalam setiap dikotomi kehidupan ini atau hanya berhasil sebagai benih destuktif , hancur malah menghancurkan , dan sesat menyesatkan. Cabararan yang gencar di darsawarsa ini amat memeritkan. Setiap tohmahan ke atas kamu.. MPP tak jalankan tugas.. MPP malas.. Saya nampak exco baru nak pergi mandi..kata pengetua.. MPPpun sorok telefon kt Dewan Makan.. dan bayak lagi tohmahan saya telan dengan penuh senyum semu walau hati cukup sakit dan terasa.Kalaulah rotan yang dilibas di kaki kalian sakitnya terus menusuk di perosok sanubari ini. Bukan sekali malah berkali-kali. Namun itukan semua dugaan Tuhan yang menentukan.

Yang penting kalian belajar, sekurang-kurangnya belajar rasa bersalah atas apa yang kalian lakukan dan sedar bahawa pimpinan tidak cocok untuk berbuat demikian. Satu masa dan ketika nanti kalian akan menyedari bahawa inilah pelajaran yang kalian dapati dari SAM BBST ini. Dan sesungguhnya inilah yang dinamakan pendidikan. Ianya bukan hanya mahu melihak impak serta merta tapi juga mampu untuk menghasilkan impak yang lebih komprenhensif pada masa mendatang.

Harapan saya mahu melihat anak didik saya ini akan terus maju di apa jua dikotomi kehidupan yang diceburi. Setiap kemahiran yang dipelajari sama ada kemahiran berfikir secara strategic dan hikmah, kemahiran komunikasi, kemahiran mengawal emosi dan stress dapat membantu kalian kelak.

FAJAR PASTI MENYISING..

Sesungguhnya cita-cita besar perjuangan yang kita untuk menjana generasi rabbani yang mampu mengembalikan tamadun khayra ummah adalah aspirasi yang dipasakkan. Di celahan agenda besar itulah kalian . Generasi yang terdidik dengan agama Allah dan berbahagialah kita yang dapat menjadi sebahagian daripada insan yang terpilih menjan generasi rabbani.

Akhirnya di kesempatan yang sebentar ini, saya ingin memohon kemaafan atas ketelanjuran selama mana mengisi ruang sebagai penasihat MPP 2006/2007 ini. Segala kelemahan dan kesilapan, kelancangan bicara , kelolosan masa, kekurangan konsesi semasa membuat keputusan, tidak bersikap adil, kuarng layan atau melayan..mungkin telah mengguris hati kalian..mungkin saya gagal untuk membuat yang terbaik untuk diri anda pada kali ini. Halalkan semua yang terkurang ddalam proses pendidikan ini. Percayalah cabaran yang mendatang ini akan lebih besar dan mencabar.

Sekian dulu pertemua di akhir persidangan yang terakir ini. Moga kita dapat berbicara lagi seperti ini. Saya doakan kejayaan kalian di dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2007 yang kamu akan jalani nanti. Moga Berjaya Maa’salamah Wa Ilalliqa’

Perjalanan Yang Memenatkan 2; Keluhan Seorang Penasihat MPP 06/07

Anakku…
Mungkinkah tertebus dosa diri
Bila mana asyik membiarkan diri kalian
Bertatih bebas di luar landasan permainanmu
Hingga pernah terpalit lumpur di muka kalian
Hanya kerna aku lalai .. mungkin tertidur keletihan

Perjalanan ini…
Seperti semalam
perjalanan yang memang memenatkan..
Lebih-lebih lagi
Buat seorang yang seringkali
Meletakkan hatinya pada kalian
Walau sedar perjalanan ini
Hanya satu persinggahan yang sebentar dalam perjalanan yang cukup panjang

Anakku
Dihari dasa windumu ini
Perkasakanlah dirimu dengan ilmu
Umpama kata
Jika mahu tahu tingginya pokok pada helang
Jika mahu tahu luasnya padang tanyalah belalang
Jika mahu tahu dalamnya hutan tanyalah puyuh
Jika mahu tahu panjangnya pantai tanyalah bebaran

Anakku
Teruskanlah langkahmu
Kerana dunia ini tak seindah yang kau harapkan
Lagi gentar berhadapan
Lagi panjang anganan

Ingatlah
Tiada apa yang aku bekalkan hanya harapan dan impian..
Kalau adapun hanya dosa yang kalian tidak maafkan..
Moga langkahmu akan lebih maju kehadapan..
Biar nanti jadi pengalaman walau ini hanya persinggahan.mu

Sekali lagi...tahun ini...
Anakku
Mungkin ini kali terakhir...
Aku akan menatap wajah kalian
Yang dulu
Saban hari bermain di depan mataku
Kalau tidakpun
Nama kalian sering kali kutitipkan
Dalam doa rabitah yang sering kali aku baca
Saban pagi
Namun percaya
Walau wajah kalian jauh disudut mataku
Tapi setiap butir nama kalian akan tetap
Kutitip dalam doa rabitahku
Agar nanti ikatan hati ini
Akan kekal selama-lamanya....Amin....

KENYATAAN AKHBAR ABIM NEGERI SELANGOR

KENYATAAN AKHBAR ABIM NEGERI SELANGOR
11 OGOS 2008M/ 20 SYAABAN 1430H
ISU ARAK : ABIM SELANGOR MAHU PENGUATKUASAAN LEBIH SERIUS DAN MENGGESA SEMUA PIHAK TANGANI ISU INI DENGAN PENUH TANGGUNGJAWAB

ABIM Negeri Selangor mengalu-alukan penguatkuasaan yang berkesan daripada mana-mana pihak yang mempunyai bidang kuasa untuk membenteras penjualan arak secara terbuka dan bebas kepada orang Islam di Negeri Selangor ini khususnya di kawasan yang penduduknya majoriti orang melayu dan beragama Islam. Memandangkan pada masa ini, kita berhadapan dengan pelbagai penyakit masyarakat terutama yang melibatkan golongan belia Islam seperti kes ragut, rogol, lumba haram, rempit, rompak, zina, pengambilan arak yang serius dan sebagainya. Dan arak adalah “ibu maksiat” yang menjadi punca utama kepada beberapa jenayah besar akhir-akhir ini, oleh itu tidak hairanlah kalau minuman keras ini diharamkan dalam agama Islam. Maka penguatkuasaan ini adalah wajar dilaksanakan.

ABIM Negeri Selangor menyeru kepada semua pihak agar memberi kerjasama padu dalam usaha untuk menjalankan penguatkuasaan ini, dan sepatutnya bukan hanya kepada premis-premis terpilih dan dianggap kecil sahaja, tetapi juga semua premis besar yang menjual arak secara runcit dan mudah dibeli oleh orang Islam. Penguatkuasaan ini perlu serius dengan langkah-langkah berkesan contohnya dengan meletakkan label pada premis yang menjual arak – ORANG ISLAM DIHARAMKAN MEMBELI ARAK" atau "DILARANG MENJUAL ARAK KEPADA ORANG ISLAM" seperti perlaksanaan di kedai judi. Langkah meletakkan gambar kesan arak kepada manusia seperti yang dilekatkan di kotak rokok perlu dijalankan untuk menjadikan penguatkuasaan dan pendidikan ini berjalan seiring dan memberi kesan.

ABIM Negeri Selangor mencadangkan dan mengesa agar kempen bahaya arak ini dibuat lebih konsisten dan agresif oleh semua pihak sama ada badan kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO’s) agar pendidikan menyeluruh dapat disampaikan ke segenap lapisan masyarakat terutama golongan belia dan remaja Islam. Gunakanlah semua ruang dan peluang yang ada di program kerajaan, di media massa, media cetak, masjid-masjid , surau-surau dan sebagainya. Usaha ini perlu digerakkan bersama demi melihat masa depan yang lebih gemilang.

MEMBINA DAN MENGGERAK GENERASI KHAYRA UMMAH

MOHD ZAWAWI BIN AHMAD MUGHNI
Yang Di Pertua
Negeri Selangor Darul Ehsan

Tuesday, August 11, 2009

DEDIKASI BUAT ZAUJATI ; Terima kasih atas pengorbanan



Selembut hembusan angin diperjalanan
semerbak haruman mawar merah dihalaman
sewangi setanggi cinta didaunan
secantik budi
seindah bakti yang tersemai

Zaujati
tiada yang lebih indah terucap
selain kalam terima kasih
buat pengorbanan penantian yang cukup panjang
waktu kaki ini melangkah pergi meninggalkanmu seorang
untuk mengukir perjuangan
kau tabah dalam menanti di taman kekuatan

Zaujati
tiada yang lebih indah terucap
selain penghargaan tanpa batasan
waktu aku pergi menjalankan
tanggungjawab yang penuh dijalanan
biar mungkin berat kau lepaskan
namun
itulah pengorbanan
yang mungkin pedih, senyap tanpa keluhan

Zaujati
Ikrarku tak pernah berubah
diri ini ke serah pada cinta dan kasihmu
namun masih kau perlu lepaskan
buat ummah yang menanti di dada perjuangan
buat ummah yang mahukan pengisian
buat ummah yang teraba di persimpangan

Zaujati
menghargai pengorbananmu
buat aku termangu di halaman rindu
menghargai pengorbananmu
buat aku sirna di ufuk syahdu
menghargai ketabahanmu
buat aku terus kukuh dilandas restu

Zaujati
terimalah
sekalung penghormatan buatmu
atas kesabaran
atas ketabahan
atas kefahaman
Terima kasih
kaulah penguatku
untuk terus subur mengabdi di laman perjuangan

Hubby
Putra HA
11 Ogos 2009
Raudhatul izzah

Monday, August 3, 2009

PERUTUSAN TERIMA KASIH


Bagi pihak Saf Pimpinan ABIM Negeri Selangor, mengucapkan jazakumullahukhairu l jaza' kepada semua ajk dan ahli ABIM Selangor yang terlibat menjayakan Forum Bicara Ummah, Seminar Tajdid dan sesi muktamar yang dilangsungkan pada 31 Julai hingga 2 Ogos 2009 yang lalu. Budi, jasa dan bakti yang dicurahkan , hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya.



Bagi pimpinan ABIM Pusat sesi 2007/2009 yang telah melepaskan jawatan, ABIM Negeri Selangor mengucapkan terima kasih dan penghargaan atas budi dan jasa yang dicurahkan. Pengorbanan dan perjuangan kalian dalam memperkukuh gerakan amat dihargai disamping cabaran dan mehnah dan cabaran dihadapi. Semoga keredhaan Allah Taala bersama kalian dan terus istiqamah dalam perjuangan.

Bagi pimpinan yang baru , diharapkan dapat menerus kesinambungan perjuangan yang telah kita warisi di samping memperkukuhkan jaringan mata rantai perjuangan. Di ABIM negeri Selangor kami sentiasa menyokong dan membawa bersama misi dan visi perjuangan, wadah yang kita sayangi ini.

Kepada semua , sekali lagi , jazakumullahukhairu l jaza'. Moga Allah memperkukuhkan ikatan hati kita dan memperkukuhkan iltizam dan keazaman kita untuk terus di medan dakwah ini. Menghayati runtutan doa rabitah yang kita setiap pagi dan petang lafazkan, moga perjuangan ini berterusan dan jika ditakdirkan ianya terhenti , moga kita ditempatkan dengan para syuhada' dan orang-orang yang saleh.

Takbir!

Sunday, July 12, 2009

Tuhan Lebih Tahu

Dalam semarak rindu yang membara
Rimbunan genggaman api makin malap di tangan
dalam meruntun sendu yang menyala
jari makin lemah di sini

Lapangan ini
pernah dulu ku nobatkan seperti tempat syahidku..
nyaman ...
sedondon dengannya tepian tempat sujud umat...
disebelahnya ada batu peringatan buat sang bijaksana...
aku telah bersaksi bahawa..
akan kumajukan lapangan kontang ini..
biar dia subur tidak di mamah
masa dan waktu...

tapi memang benar.......
Tuhan lebih tahu
mana elok buatku........
perjalan panjang..penat..keluhan dan simpati...
kadang-kadang teruji........
selalu...
tapi ini mungkin sedikit berat....

Dan memang benar
Tuhan maha tahun...

aku bukan jiwa besar tapi kerdil...
baru diletak sampah dalam bekas sepatu.........
kegusaran seperti sudah dicampak dalam longgok sampah
busuk dan tengik baunya...belum kotornya...

TApi kan Tuhan lebih tahu...
kekuatan ku...
lemah rupanya...
kalau sekadar punya hati untuk berjuang
punya kudrat untek melawan

hentikan.........
yang penting...
ada masa untuk koreksi
ada masa untuk mengabdi.........

aku pilih...
lapangan ganti......
yang Tuhan lebih mengerti
di mana akan aku berhenti nanti.....

ha putra

Thursday, June 18, 2009

mari suburkan bulan rejab

Sama samalah kita ingat mengingati amalan- amalan mulia yang penuh berkat ini......... . BULAN REJAB Pada 24 Jun 2009 (Rabu) kita memasuki bulan Rejab. Bulan Rejab adalah bulan Allah swt. Diriwayatkan bahwa Rasulullah saw telah bersabda, "Ketahuilah bahwa bln Rejab itu adalah bulan ALLAH swt, maka:"
1. Barang siapa yang berpuasa 1 hari dalam bulan ini dengan ikhlas, maka pasti ia mendapat keredhaan yang besar dari ALLAH swt
2. Dan barang siapa berpuasa pada tanggal 27 Rejab /Isra Mi'raj (Isnin, 20 Julai 2009) akan mendapat pahala seperti 5 tahun berpuasa
3. Barang siapa yang berpuasa 2 hari di bulan Rejab akan mendapat kemuliaan di sisi ALLAH swt
4. Barang siapa yang berpuasa 3 hari yaitu pada tanggal 1, 2, dan 3 Rejab (24, 25, 26 Jun 2009) maka ALLAH swt akan memberikan pahala seperti 900 tahun berpuasa dan menyelamatkannya dari bahaya dunia dan seksa akhirat
5. Barang siapa berpuasa 5 hari dalam bulan ini, insyaallah permintaannya akan dimakbulkan Allah swt..InsyaAllah
6. Barang siapa berpuasa 7 hari dalam bulan ini, maka ditutupkan 7 pintu neraka Jahanam dan barang siapa berpuasa delapan hari maka akan dibukakan 8 pintu syurga
7. Barang siapa berpuasa 15 hari dalam bulan ini, maka ALLAH swt akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan menggantikan kesemua kejahatannya dengan kebaikan, dan barang siapa yang menambah (hari-hari puasa) maka ALLAH swt akan menambahkan pahalanya."
Sabda Rasulullah saw lagi :"Pada malam Mi'raj, saya melihat sebuah sungai yang airnya lebih manis dari madu, lebih sejuk dari air batu dan lebih harum dari minyak wangi, lalu saya bertanya pada Jibril as "Wahai Jibril untuk siapakah sungai ini?"
Maka berkata Jibrilb as "Ya Muhammad sungai ini adalah untuk orang yang membaca selawat untuk engkau dibulan Rejab i ni."
Dalam sebuah riwayat Tsauban bercerita :"Ketika kami berjalan bersama-sama Rasulullah saw ke sebuah kubur, lalu Rasulullah saw berhenti dan beliau menangis dengan amat sedih, kemudian beliau berdoa kepada ALLAH swt. Lalu saya bertanya kepada beliau "Ya Rasulullah, mengapakah engkau menangis?" Lalu beliau bersabda "Wahai Tsauban, mereka itu sedang diseksa dalam kuburnya dan saya berdoa kepada ALLAH swt, lalu ALLAH swt meringankan atas mereka."
Sabda beliau lagi "Wahai Tsauban, kalaulah sekiranya mereka ini mahu berpuasa satu hari dan beribadah satu malam saja di bulan Rejab nescaya mereka tidak akan disiksa di dalam kubur." Tsauban bertanya "Ya Rasulullah, apakah hanya berpuasa satu hari dan beribadah satu malam dalam bulan Rejab sudah dapat mengelakkan dari seksa kubur?"
Sabda beliau "Wahai Tsauban, demi ALLAH Zat yang telah mengutus saya sebagai nabi, tiada seorang muslim lelaki dan perempuan yang berpuasa satu hari dan mengerjakan solat malam sekali dalam bulan Rejab dengan niat karena ALLAH swt, kecuali ALLAH swt mencatatkan baginya seperti berpuasa satu tahun dan mengerjakan solat malam satu tahun."

Friday, February 27, 2009

SABARLAH CIKGU

Oleh Anak_Pejuang"
Di Waktu Pagi
Pergi ke sekolah setiap pagi, menaiki bas 2 kali sebelum sampai ke sekolah. Hendak masuk menuju ke sekolah perlu berjalan kaki lagi 1 kilometer. Kadang-kadang kerjanya adalah membuka pagar sekolah (kerana ada tugasan yang diberi sebegitu - maklumlah sekolah pun di kawasan pedalaman). Sabarlah cikgu..
Semasa Sesi Pengajaran
Sebelum memulakan pengajaran, cikgu membaca doa bersama anak murid. Diminta agar diterangkan hati, dimudahkan faham apa yang diajar dan dipelajari. Cikgu meminta anak murid agar mengutip sampah, mengemaskan kerusi dan meja agar dapat belajar dengan selesa. Begitulah setiap hari mulutnya tidak pernah diam menasihati agar sampah yang dijumpai bersepah di luar bilik darjah dan sekolah agar dibuang di dalam tong sampah. Sabarlah cikgu...Cikgu menanda kedatangan pelajar di Buku Daftar Kehadiran Murid, ada beberapa nama yang sudah acapkali tidak hadir. Cikgu bukan tidak peduli tentang itu semua, lalu ditanya rakannya sekelas. Dijawab mereka "si polan tu pergi CC (Cyber Cafe), swimming pool, kadang-kadang tak naik kelas dia duduk kat pondok perhentian bas". Cikgu pun menyusul ke perhentian bas sambil memujuk anak murid agar naik ke kelas. Sabarlah cikgu...Cikgu mengajar di hadapan, anak murid bermain-main di belakang. Ada yang tidur, ada yang berbual-bual. Bila ditanya "mana kerja rumah". Dijawab pula "Lupa cikgu" (padahal di rumah begnya tidak pernah diperiksa dijadikan pekasam sahaja) Ibu dan ayah pula terlalu sibuk bekerja. Samada anak ke sekolah atau tidak, itu belakang kira. Yang penting sudah nampak pergi ke sekolah. Cikgu pun meneruskan pengajarannya, diberikan penjelasan dan diulang-ulang lagi apa yang telah diajar agar dapat melekat terus di hati anak muridnya. Cikgu pun bertanya, "faham tak ? Kalau tak faham silalah bertanya, nanti cikgu ulang lagi". Anak murid pun menjawab "faham cikgu". Tidak lama kemudian cikgu pun menyoal dari apa yang telah dipelajari, kerana beranggapan anak muridnya sudah faham apa yang diajar. Kemudian ramailah anak murid yang berdiri dan menjadi 'patung' kerana tidak dapat menjawab soalan cikgu. Hanya beberapa kerat yang membuka mulut untuk menjawab soalan. Sabarlah cikgu...Lalu cikgu pun ingin membuat ulangkaji dengan anak muridnya lagi. Semalam cikgu dah beritahu supaya menelaah apa yang telah diajar. Hari ini cikgu ingin menyoal pula. Tetapi tidak ramai yang ingin menjawab. Bila ditanya mengapa tidak dapat menjawab soalan. Mereka menjawab "tak tahu, lupa, jaga adik". Sabarlah cikgu..
Bukan cikgu tidak tahu, ada anak murid nakal dan pernah didenda kerana kenakalannya yang diulang berkali-kali. Cikgu bukan denda kerana suka mendenda. Tetapi kerana kasih dan sayangnya kepada anak murid. Itupun dimulakan dengan nasihat untuk dia memikirkan kembali baik dan buruknya perbuatan yang telah dilakukan dan masa hadapannya. Diberikan teguran agar membekas dalam hati. Dan dihukum sesuai dengan kesalahannya. Dan ada juga cikgu menegur kesalahan anak murid agar tidak membuat bising di dalam kelas. Semasa hendak membuka pintu kereta, kereta cikgu telah dicalar balarkan, tayar dipancitkan. Kengkadang cikgu pun ditunggu diluar untuk dipukul. Sabarlah cikgu...
Sesudah Habis Mengajar
Sebelah petangnya, apabila anak murid sudah pulang ke rumah. Cikgu masih lagi di sekolah, terkadang ada kelas tambahan untuk anak muridnya. Terkadang ada kerja untuk menyiapkan alat bantu mengajar supaya anak murid mudah faham. Terkadang tertidur sebentar kerana kelelahan.Di rumah, kerja cikgu belum selesai lagi. Perlu menyiapkan buku persediaan mengajar, perlu memikirkan pula aktiviti tahunan yang telah diagihkan untuk disempurnakan. Kertas kerjanya, soalan bulanannya, persatuan yang dinaunginya. Cikgu pun ada suami, ada isteri, ada anak-anak untuk dibesarkan, dididik, diberi makan, dikenalkan dengan kehidupan. Setiap kali melihat buku anak murid, akan terbayang wajah mereka satu persatu. Ya, cikgu pun mendoakan juga agar anak muridnya berjaya dan menjadi orang yang berguna. Sabarlah cikgu...Cikgu pun tidak kisah..
semasa di luar sekolah,
ketika bersiar-siar. Bukan tidak pernah terserempak dengan anak muridnya. Ada yang menyapa memberi salam dan senyuman - AlhamduliLlah baguslah, ada juga yang sembunyi-sembunyi (mungkin segan kerana berpakaian menjolok mata atau telah melakukan sesuatu yang ia rasa tidak kena), ada juga yang berlalu seolah-olah cikgu tidak wujud di depan matanya (mungkin tidak nampak gamaknya). Cikgu pun tidaklah terasa sangat sebenarnya.. Sabarlah cikgu...Cikgu pun pernah mengajar anak muridnya agar tahu mengucapkan terima kasih. Apabila cikgu hendak memberikan buku kepada anak murid, ia tidak melepaskan buku tersebut kecuali setelah anak murid mengucapkan 'terima kasih cikgu'..Sekadar berkongsi antara kehidupan cikgu yang tidak didedahkan, cubalah berkongsi pengalaman dengan mereka. Agar tahu perasaan dan susah payahnya di dalam mendidik anak bangsa. Kepada ustaz, ustazah, cikgu, guru dan pensyarah yang pernah mendidik diri ini...
Terima kasihku ucapkan...

ComSumber : http://jarumemas.blogspot./"

Sunday, February 1, 2009

PROGRAM MALAM MENGINGATI PALESTIN; KAMI BERSAMA MU…….


Ustaz Yusmi Haniff Ariffin , Ketua Guru Asrama menyerahkan sumbangan para pelajar SAM Bandar Baru Salak tinggi kepada wakil Global Peace Mission (GPM) Malaysia untuk rakyat Palestin di saksikan poleh penceramah usatz Hanif.


Sebagai tanda prihatin dan merasai penderitaan rakyat palestin terutama saudar sebaya di Palestin. Pihak pengurusan Asrama SAM Bandar Baru Salak Tinggi Sepang mengadakan Malam Mengingati Palestin pada tanggal 17 Januari Yang lalu. Program yang dihadiri oleh semua warga SAM Bandar Baru Salak Tinggi ini dimulakan dengan solat maghrib, solat hajat dan Ceramah Palestin ; Kami Bersamamu yang di sampaikan oleh Ustaz Hanif. Di majlis itu jugan satu kutipan sebagai sumbangan kepada warga palestin dan di smapaikan kepada wakil Global Peace Mission (GPM) Malaysia , En Syakir salah satu NGO yang kan menyalurkan sumbangan secara terus kepada rakyat palestin. Semoga Allah Menyelamatkan saudara kita di Palestin Amin....