Tuesday, March 13, 2012

KALAM AKHIR 2010

KALAM AKHIR

Mempersiap Qiyadah , Menongkah Arah
Oleh
Khairudin bin Abas
Penasihat MPP
Majlis Persidangan Penangguhan MPP 2009/2010

Assalamualaikum wrt wbt

Barisan guru Penasihat
Presiden dan barisan exco Majlis Pimpinan Pelajar (MPP) 2009/2010
Barisan Bayangan MPP 2010/2011

“Dan persiapkanlah segala kemampuan untuk menghadapi mereka dengan kekuatan yang kamu miliki dan dari pasukan-pasukan berkuda yang dapat menggentarkan musuh Allah, musuh-musuhmu dan orang-orang lain yang kamu tidak mengetahui , tetapi Allah mengetahui. Apa saja yang kamu infakkan , nescaya akan di balas dengan cukup kepadamu,dan kamu tidak akan dianiayai.”

Al-Anfal; 60


Marilah kita memunajatkan kesyukuran kepada Allah swt kerana dengan limpah kurnia dan inayahnya jua kita dapat bersama-sama berkumpul dan berhimpun di majlis tahunan yang kita sama-sama tunggukan dalam saf qiyadah Majlis Pimpinan Pelajar (MPP) bagi tahun 2009/2010. Untuk makluman setiap ruh dan jasad yang hadir di majlis ini, majlis ini merupakan satu majlis muhasabah gerakan MPP setiap tahun berakhirnya satu perjalanan yang cukup panjang dan payah. Perjalanan yang menjanjikan onak dan duri, caci maki dan kehinaan buat setiap watak pendukung dalam wadah ini. Jarang di puji , malah sering dikeji walaupun sebenarnya kehadiran kita hanya menyendal tugas yang tertinggal dan ditinggalkan. Tapi sebagai juak-juak pejuang yang yakin dengan janji tuhan meringankan tugas insan lain ada ganjaran yang menanti kemudian.

Muhasabah Ramadhan

Terlalu pendek rasanya masa berlalu, ramadhan 1431H telah meninggalkan kita buat sekian kalinya. Bagi kita yang menggerakkan badan dakwah dan tarbiyah , sudah pasti dan sewajarnya kita terkesan dengan kehadiran dan pemergian bulan yang penuh barakah ini. Yang pasti beberapa elemen penting dalam diri perlu digerakkan agar aidilfitri sebagai seorang pelajar dan daie akan lebih bermakna lagi.

Elemen penting adalah Muhasabah. Objektif utama dalam ayat Allah yang biasa kita guna mewajibkan puasa :
“ Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.”
(Surah Al-Baqarah: 183)
The ultimate aim, objektif utama penurunan puasa ini adalah untuk membina ketakwaan persoalan besar yang perlu kita mainkan dalam diri seorang pelajar dan daie ini , adakah kita berjaya membina ketakwaan dalam diri kita ini dan yang paling penting adakah kita mampu mengekalkan momentum ramadhan agar kita istiqamah dalam melakukan banyak perkara yang luarbiasa kita laksanakan seperti solat berjemaah , bersedekah dan banyak lagi perkara sunat yang berlaku . Jika tidak, elemen koreksi diri perlu dilaksana segera.

Rasa kemeriahan syawal kali ini bagi tercemar apabila agenda tertentu menjangkau dan melebihi had pengamalan agama apabila melihat iklan aidilfitri yang tidak sepatutnya ditayangkan di skrin tv kita. Adakah kita sudah mati rasa untuk mempertimbangkan kewajaran untuk meletakkan Islam itu lebih tinggi dari agama lain. Atau kita perlu toleransi yang cukup tinggi walaupun dalam isu-isu tauhid dan akidah. Sudah tentunya , segala perbuatan kita perlu berlandaskan Al-Quran da Assunah yang kita pegang selama ini. Alhamdulillah , kerana force yang kuat dari massa , iklan tersebut ditarik balik dan moga ini menjadi pengajaran buat semua.

Sebagai hadiah kemenangan orang-orang Islam dalam perjuangan mengengkang hawa nafsu di bulan Ramadhan Allah Subhanahu wa Ta'ala membalasnya dengan satu hari yang dinamakan 'Idulfitri atau Hari Raya Fitrah, di mana Allah Subhanahu wa Ta'ala menghalalkan mereka berbuka puasa dan mengharamkan berpuasa pada hariktersebut.

Dalam keghairahan menyambut Hari Raya yang mulia adalah wajar ianya disambut mengikut lunas- lunas yang digariskan oleh Syara' dan tidak dicampurbaurkan dengan perkara-perkara yang dilarang atau yang diharamkan.


Fajar Terbit Jua

Setahun , 365 hari , 8760 jam , 525 600 minit, 31.5 juta saat merupakan setiap detik kita menyarung dan menggalas tugas yang diamanahkan kepada kita untuk memimpin dan belajar memimpin setiap jiwa insan di SAM BBST tercinta ini. Semestinya setiap ruang roh dan jasad jua jiwa dan raga , seluruh tenaga dan pemikiran kita curahkan untuk menjadi pimpinan yang amanah dan utuh dengan prinsip perjuangan. Di samping memenuhi hasrat diri , ibu bapa , guru-guru dan masyarakat yang amat mengharapkan kita cemerlang di dalam akademik khususnya walaupun kekadang ketinggian kelulusan, banyaknya A atau mumtaz tidak menjanjikan ketinggian sahsiah dan budi pekerti namun itulah harapan dan impian kita untuk menghasilkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam akademik , kokurikulum malah jua tinggi peribadi dan sahsiah, perwatakan seorang lepasan SAM BBST. Sebab itu, kita seharusnya sedih dan kesal apabila trend menobatkan pelajar-pelajar yang hanya mendapat pencapaian yang tinggi dalam akademik sahaja tidak di ko-kurikulum apatah lagi sumbangan dalam kepimpinan secara besar-besaran dan menenggelamkan anugerah tokoh pelajar mithali yang sepatutnya diangkat menjadi anugerah tertinggi agar pelajar dapat merasai bahawa ini tokoh pelajar yang lengkap akademik, sahsiah dan peribadi.


Onak Meniti , Cabaran Didaki

WOW 2010 mencatat kenangan pahit manis perjuangan kali ini. Dari hari perasmian kita seolah-olah melakukan dosa besar dalam persada yang kita kasihi ini. Dari pedas telinga mendengar amanah di sesi perasmian seolah kita tidak mengatur program dengan betul dan teratur sehinggalah hingga kita menjual tiket konsert UNIC @ UNIQUE meminta sumbangan RM 5 seolah mengemis simpati hingga jawapan yang diterima tidak menyenangkan hati. Adakah wajar Insan kerdil seperti kita ini mencabar untuk mereka yang berkata ‘Ini bukan Minggu Himpunan Hikmah Tapi himpunan Masalah” Nah sekarang buat lah minggu seperti ini pada tahun hadapan .. kami akan menyaksikan… Tidakkah mereka ini sedar bahawa kita tidak pernah tidur nyenyak berminggu untuk menyaksikan minggu ini berjaya ? tidakkah mereka sedar tidak kurang ringgit dan titik peluh kita curahkan? Tahukah mereka menjemput badan baru merupakan rasa penghormatan untuk badan itu menyumbang? Memang rupanya memilih perjuangan untuk mengislah ummah ini penuh cabaran dari mula mengendali jamuan akhir tahun lepas menerima tohmahan apabila kita buat pada malam hari menjadi bualan hingga WOW juga punya seribu ragam.

Bersungguh kita berjaga, bersengkang mata kita cuba menerapkan segala yang kita harapkan. Kita dibuat seolah tidak punya maruah dan harga diri apabila cuba dilemahkan dengan segala dokumen persuratan yang diperkelilingkan. Kita dituduh menfitnah pelajar yang bagi kita benar-benar mahu membuat kemungkaran dengan bermodalkan memberi makanan. Tapi itulah puncak kesabaran. Kita belajar dan diajr erti kekuatan. Bersabar dengan ujian tuhan.

Memanglah kita baru belajar dan punya banyak kelemahan ..tapi bukankah ini minggu himpunan hikmah ..benarlah hikmah ini telah hilang dari ummat Muhammad …. Ya Allah Ampunilah kami dan Orang-orang yang kami Kasihi.. Bersabarlah …Janji Allah dalam KalamNya

“Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang yang beriman…”
Ali Imran : 139

Anggerik disuntik si gadis manja,
Disemat kebaya hati ternoda,
Adat berpencak pendekar muda,
Tercalar badan syarat perwira!


Realiti dan Fantasi ; MPP SAM BBST

Kita gusar kebelangan ini apabila , budaya yang menular di SAM BBST Yang kita kasihi ini semakin sukar di bendung. Budaya jijik coupling , dating yang semakin subur di kalangan pelajar. Surat cinta yang dikutip dan dirampas , menggambarkan betapa seriusnya mereka ini berjumpa dan bertemu di saat kita lalai membuat kerja rutin harian kita. Kejadian kecurian bermaharajalela seperti tanpa hentinya. Pencemaran Bualan Ramadhan al-Mubarak yang berleluasa dari perbuatan tidak berpuasa , keluar tanpa kebenaran ke bazaar ramadhan kerana keinginan nafsu perut , merokok hinggalah yang paling menyedihkan apabila kesucian bulan ramadhan yang mulia ini di cemari dengan berita pelajar kita sudah ada yang meneguk arak semasa fly. Ini lah yang paling ditakuti . Teringat sabda nabi junjungan
“ akan tiba satu zaman di mana manusia hanya mementingkan perut mereka, kemuliaan bagi mereka adalah harta benda , agama bagi mereka hanyalah matawang dan kiblat bagi mereka adalah wanita. Sesungguhnya mereka itu adalah sejahat-jahat manusia”

As-solah Momentum Al Falah terma ini merupakan igauan ngeri bagi kita dua tahun kita cuba mencari kekuatan. Dari subuh yang kita gagal gerakkan hingga subuh hanya cukup dengan beberapa baris di saf dan berbaris-baris di bilik mandi menunggu giliran hingga ke zohor yang sememangnya kita lambat dan seolah-olah berlenggang ke surau bertemu Allah. Bukankah telah tertulis di jadual waktu “Solat Zohor Berjemaah”. Kenapa waima PJK pun kita boleh mengikut waktu yang telah ditetapkan tetapi perkataan “Solat Zohor Berjemaah” tidak dapat kita lakukan. Marilah kita sama-sama menghitung dan bermuhasabah diri adakah ini kelemahan kita sebagai pimpinan? Atau penguatkuasaan kerana tiada contoh dan tauladan? Adakah mahu apabila ada guru yang melihat seolah-olah malaikat yang dinampakkan , baru kalian sepantas kilat menuju ke kebun kejayaan? Atau marilah kita semua cadangkan agar perkataan “Solat Zohor Berjemaah” ini dinyahkan dari jadual waktu kerana ini hanya bukti pengkhianatan kita pada waktu yang sepatutnya kita ikut patuh mengerjakannya. Begitu juga hari rabu yang punya anganan …warga sekolah semua berkumpul di kebunan ini untuk kejayaan?

Subuh? Adakah kita tak punya kekuatan atau kita gagal merancang? Sedang sibuk Palestin kita ingin bebaskan tetapi jika kita terus berselimut dengan kulit babi di atas katil kesejukkan. Kita ditempatkan di satu bilik indah..dengan mengambil keberkatan almari SRI PUTERI sebagai gubuk simpanan bukan untuk tidur nyenyak setaman, bukan juga untuk berenda gurauan menjadi tempat simpanan harta rampasan , jauh sekali tempat menempelak dengan pelbagai perkatan bila dirotan kaki bila kelewatan. Adakah bilik ini kurang keselesaan? Hingga sahabat tega meninggalkan kita dengan pelbagai alasan untuk duduk diluar perbatasan tetapi masih kerap datang walau dihalang! kenapa tak guna ketua aras dan ketua dorm yang ada untuk tolong menggerakkan atau memang tidak boleh langsung digunakan. Berbanggalah dengan kedudukkan ke empat terbaik SABK Selangor tetapi kalau ini penanda arasnya jauh lagilah kita untuk menggapai kualiti yang sebenar.

TETAPI , kita sedar inilah medan pembelajaran menjadi pimpinan. Kalau kita hanya menjadi badut , menghibur hati tanpa meninggalkan kesan mendalam..hanya sibuk memarahi orang membuat kesalahan tanpa ada ruang pembetulan…hanya sibuk menyalahkan sipolan bin sipolan tanpa ada penegasan. Belajarlah..setiap apa yang kau lalu ..itulah pelajaran..setiap apa yang kau silap itulah pelajaran..setiap apa yang kau lakukan itulah pembelajaranmu…kalau kau pernah dirotan hanya kerana sebiji telur ..itulah hakikat bila kau baling telur itu ke lantai asrama bukan dicampak ke dalam periuk buat lauk anak Pakistan yang sedang kelaparan akibat bencana banjir besar. Kalaupun kau pernah berlakon sehingga menimbulkan kebosanan ibarat badut-badut dijalanan, pernah dikejutkan dengan rotan, pernah ditegur kerana lambat menjalankan tugasan, menyangga kekawan dengan penuh semangat meinta bilik study yang tidak pernah ada harga sebelumnya walaupun kawan itulah yang akan melanggar apa yang kau perkatakan, ketawa riang bersama , termenung sejenak dijendela merenung masa yang pantas berlalu, titisan air mata yang kekadang rindu pada kelas dan kerusi mejamu yang lama kau tinggalkan kerana “kesibukan”mu. Itulah realiti perjuangan membina insan pimpinan. Pahit manis perjuangan. Semua itu kita harapkan ada sisa-sisa keberkatan. Itulah sebabnya hati ini kena sentiasa bersih, tulus dan mulus. Sentiasa mencari keredhaanNya. Agar Allah memberikan kewajaranNya.

Percayalah pada janji tuhan

“dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami , Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Allah beserta orang-orang yang berbuat baik.”
Al-Ankabut : 69


Bubar Saf bukan Bubar Iman

Dari saat pembubaran nanti barulah kalian bergelar mantan (mundar mandir tanpa jawatan) tapi sering kali diingatkan bahawa ini adalah pembubaran saf jawatan bukannya bubar iman. Berkelakuanlah sebagai pelajar yang beriman dan diredhai Tuhan , bukan pelajar yang melepas geram dan memberi jawapan bodoh ‘aku sudah tidak punya jawatan’ atau ‘ini tahun terakhir aku di sini’ . jawapan-jawapan seperti ini, menunjukkan kita tidak konsisten dalam amal kita.

Ambillah pengalaman dan pengajaran pada setiap detik yang menjadi pelajaran ketika bergelar pimpinan. Ingatkah lagi bila diperdengarkan bahawa ini taklif bukan tasrif. Muhasabahlah bila orang berkata presiden apa ni kalau macam ni, keetua asputeri apa ni kalau asyik mengarah je tak tahu nak buat, exco pendidikan apa ni ..kalau diapun study kat asrama, exco disiplin apa ni..kalau diapun lemapang budak…exco kebersihan kalau dia pun pengotor etc MPP apa ni kalau dia pun lambat ..tak guna …dll. Beristighfarlah. Kami di bahagian pengurusan MPP cukup sedar dan yakin yang kami bukan melantik malaikat untuk menjadi MPP , ungkapan ini biasa kedengaran. Kemaafan jua dipinta kerana mungkin kekurangan latiha buat kalian sedemikian.

Istiqamahlah dengan perjuangan amar maaruf , nahi munkar kita telah sering kali diperingatkan tetntang betapa payahnya mengawal mantan-mantan yang terdahulu. Cukuplah kamu merasainya. Bukalah lembaran baru. Sekali lagi ..istiqamahlah ..sesungguhnya ganjaran bagi orang yang beristiqamah amatlah besar di sisi Tuhan..

“apabila mereka tetap istiqamah menempuh jalan itu, pastilah Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar”
Surah Jin : 16







Khatimah ; Menggalas Harapan Ummah

Sebagai seorang yang akan bergraduasi dari Maahad tarbiyaah ini , kamulah harapan ummah. Walau dalam apa watak sekali pun. Watak Riang ala doraemon, watak tegas , pemurah baik hati dan sebagainya. Istiqamahlah dengan apa telah dipelajari . Bersedialah beramal dengan ilmu yang telah dipelajari. Dari bacaan fatihah dalam solat apabila menjadi imam hingga tugas mengurus jenazahpun perlu kamu tahu dan mahir melakukannya. Dari segi perwatakkan , tidaklah perlu berlebihan mengikut peredaran zaman yang kian meruncing ini. Teruskanlah istiqamah dengan pakaian yang bersederhana , menutup aurat, tidak perlulah berjeans-jeans terutama yang ketat dan tidak sesuai. Bagi puteri-puteri yang dikasihi teruskanlah bertudung litup dan labuh memenuhi syarat wanita solehah. Sekurang-kurangnya janganlah sehingga hati kecil ini terkilan apabila melihat perubahan perwatakan kalian nanti. Cukuplah koleksi pelajar-pelajar yang terpesong, membuatkan diri ini terasa gagal dalam mendidik di arena ini.

Di kesempatan akhir ini , bagi pihak pengurusan hal ehwal murid (HEM) dan khusus unit pemantapan disiplin , sahsian dan MPP mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan MPP 2009/2010 yang telah mencurahkan budi dan bakti sepanjang menjalankan tugas sebagai exco. Jasa dan budi kalian hanya Allah shaja yang akan membalasnya kelak. Kepada semua calon SPM dan SMA 2010, diucapkan selamat menghadapi peperiksaan. Moga kalian dipermudahkan Allah untuk menjawab peperiksaan dunia semudah kamu akan menjawab pertanyaan Allah di akhirat kelak “di mana umurmu kau habiskan.

Teruskan lah berjuang. Kerana perjuangan ini masih panjang dan tidak pernah selesai hingga kita bertemu Allah kelak. Bercita-citalah untuk menajdi syuhada’ dijalan Allah. Janganlah terasa penat dalam perjuangan . Percayalah rehat seorang daie itu di syurga Allah nanti.


Berjuang menempah susah
Menanggung derita menongkah fitnah
Itulah gelombang hidup samudera duka
Seorang mujahid membela tauhid

Dipisah dia berkelana
Dibelenggu dia uzlah menagih mehnah
Namun jiwa tetap mara menuju cita
Membara demi Allah dan Rasulnya

Berjuang tak pernah senang
Ombak derita tiada henti
Tenang resah silih berganti
Inilah sunnah, orang berjuang

Malamnya bagai rahib merintih sayu
Dihiris dosa airmata
Siangnya bagaikan singa dirimba
Memerah keringat, mencurah tenaga

Berjuang memang pahit
Kerana syurga itu manis
Bukan sedikit mahar yang perlu dibayar
Bukan sedikit pedih yang ditagih

Berjuang ertinya terkorban
Rela terhina kerna kebenaran
Antara dua jadi pilihan
dunia yang fana
atau syurga...


Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Walillahilham
Wabillahitaufiq wal hidayah wassalamualaikum wrt wbt

No comments: