Tuesday, March 13, 2012

KALAM AKHIR 2011- AMANAT PIMPINAN

Ucapan Penangguhan ini..merupakan ucapan terakhir di SAM BBST sebagai guru penasihat.
Amanat Pimpinan

Mengukuh Qiyadah , Menerus Amanah, Memperkasa Madrasah
Oleh
Khairudin bin Abas
Penasihat MPP
Majlis Persidangan Penangguhan MPP 2010/2011

Assalamualaikum wrt wbt

Barisan guru Penasihat
Presiden dan barisan exco Majlis Pimpinan Pelajar (MPP) 2010/2011

“Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berjuang pada jalan Allah) sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu menetahui .”

At- Taubah : 41


Dengan kalimah tahmid dan tasyakur disulami semangat ukhuwah yang subur dan rasa mahabah fillah yang mendalam bagi pihak Unit Sahsiah Unggul Murid (SUMUR) Bahagian HEM mengucapkan ahlan wa sahlan wa marhaban bikum ke Majlis Amant Pimpinan yang dulu dikenali dengan Kalam Akhir di Majlis Persidangan Penangguhan MPP 2010/2011 sempena Majlis Pembubaran MPP 2010/2011 yang akan berlangsung pada esok hari. Ini merupakan kali pertama Majlis Persidangan Penangguhan MPP yang disertai oleh semua lapisan pimpinan sekolah. Dalam bahang kehangatan eid mubarak ini, menagambil keselamatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya , Maaf zahir dan Batin minal ‘aidin wal faizin kepada semua lapisan qiyadah SAM BBST>

Muhasabah Ramadhan

Terlalu pendek rasanya masa berlalu, ramadhan 1432H telah meninggalkan kita buat sekian kalinya. Bagi kita yang menggerakkan badan dakwah dan tarbiyah , sudah pasti dan sewajarnya kita terkesan dengan kehadiran dan pemergian bulan yang penuh barakah ini. Yang pasti beberapa elemen penting dalam diri perlu digerakkan agar aidilfitri sebagai seorang pelajar dan daie akan lebih bermakna lagi.

Elemen penting adalah Muhasabah. Objektif utama dalam ayat Allah yang biasa kita guna mewajibkan puasa :
“ Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.”
(Surah Al-Baqarah: 183)
The ultimate aim, objektif utama penurunan puasa ini adalah untuk membina ketakwaan persoalan besar yang perlu kita mainkan dalam diri seorang pelajar dan daie ini , adakah kita berjaya membina ketakwaan dalam diri kita ini dan yang paling penting adakah kita mampu mengekalkan momentum ramadhan agar kita istiqamah dalam melakukan banyak perkara yang luarbiasa kita laksanakan seperti solat berjemaah , bersedekah dan banyak lagi perkara sunat yang berlaku . Jika tidak, elemen koreksi diri perlu dilaksana segera.

Sebagai hadiah kemenangan orang-orang Islam dalam perjuangan mengengkang hawa nafsu di bulan Ramadhan Allah Subhanahu wa Ta'ala membalasnya dengan satu hari yang dinamakan 'Idulfitri atau Hari Raya Fitrah, di mana Allah Subhanahu wa Ta'ala menghalalkan mereka berbuka puasa dan mengharamkan berpuasa pada hariktersebut.

Dalam keghairahan menyambut Hari Raya yang mulia adalah wajar ianya disambut mengikut lunas- lunas yang digariskan oleh Syara' dan tidak dicampurbaurkan dengan perkara-perkara yang dilarang atau yang diharamkan.


Fajar Terbit Jua

Setahun , 340 hari , 8160 jam , 489 600 minit, 29.4 juta saat merupakan setiap detik kita menyarung dan menggalas tugas yang diamanahkan kepada kita untuk memimpin dan belajar memimpin setiap jiwa insan di SAM BBST tercinta ini. Semestinya setiap ruang roh dan jasad jua jiwa dan raga , seluruh tenaga dan pemikiran kita curahkan untuk menjadi pimpinan yang amanah dan utuh dengan prinsip perjuangan. Di samping memenuhi hasrat diri , ibu bapa , guru-guru dan masyarakat yang amat mengharapkan kita cemerlang di dalam akademik khususnya walaupun kekadang ketinggian kelulusan, banyaknya A atau mumtaz tidak menjanjikan ketinggian sahsiah dan budi pekerti namun itulah harapan dan impian kita untuk menghasilkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam akademik , kokurikulum malah jua tinggi peribadi dan sahsiah, perwatakan seorang lepasan SAM BBST.


Muhasabah 2011

As-solah Momentum Al Falah terma ini merupakan igauan ngeri bagi kita tiga tahun kita cuba mencari kekuatan. Dari subuh yang kita gagal gerakkan hingga subuh hanya cukup dengan beberapa baris di saf dan berbaris-baris di bilik mandi menunggu giliran hingga ke zohor yang sememangnya kita lambat dan seolah-olah berlenggang ke surau bertemu Allah. Bukankah telah tertulis di jadual waktu “Solat Zohor Berjemaah”. Kenapa waima PJK pun kita boleh mengikut waktu yang telah ditetapkan tetapi perkataan “Solat Zohor Berjemaah” tidak dapat kita lakukan. Marilah kita sama-sama menghitung dan bermuhasabah diri adakah ini kelemahan kita sebagai pimpinan? Atau penguatkuasaan kerana tiada contoh dan tauladan? Adakah mahu apabila ada guru yang melihat seolah-olah malaikat yang dinampakkan , baru kalian sepantas kilat menuju ke kebun kejayaan? Atau marilah kita semua cadangkan agar perkataan “Solat Zohor Berjemaah” ini dinyahkan dari jadual waktu kerana ini hanya bukti pengkhianatan kita pada waktu yang sepatutnya kita ikut patuh mengerjakannya. Begitu juga hari rabu yang punya anganan …warga sekolah semua berkumpul di kebunan ini untuk kejayaan?

TETAPI , kita sedar inilah medan pembelajaran menjadi pimpinan. Kalau kita hanya menjadi badut , menghibur hati tanpa meninggalkan kesan mendalam..hanya sibuk memarahi orang membuat kesalahan tanpa ada ruang pembetulan…hanya sibuk menyalahkan sipolan bin sipolan tanpa ada penegasan. Belajarlah..setiap apa yang kau lalu ..itulah pelajaran..setiap apa yang kau silap itulah pelajaran..setiap apa yang kau lakukan itulah pembelajaranmu…kalau kau pernah dirotan hanya kerana sebiji telur ..itulah hakikat bila kau baling telur itu ke lantai asrama bukan dicampak ke dalam periuk buat lauk anak Pakistan yang sedang kelaparan akibat bencana banjir besar. Kalaupun kau pernah dikejutkan dengan rotan, pernah ditegur kerana lambat menjalankan tugasan, menyangga kekawan dengan penuh semangat meminta supaya rakan tidak dibuang asrama, sedangkan kau tidak pernah ada harga sebelumnya walaupun kawan itulah yang akan melanggar apa yang kau perkatakan, ketawa riang bersama , termenung sejenak dijendela merenung masa yang pantas berlalu, titisan air mata yang kekadang rindu pada kelas dan kerusi mejamu yang lama kau tinggalkan kerana “kesibukan”mu.

Itulah realiti perjuangan membina insan pimpinan. Pahit manis perjuangan. Semua itu kita harapkan ada sisa-sisa keberkatan. Itulah sebabnya hati ini kena sentiasa bersih, tulus dan mulus. Sentiasa mencari keredhaanNya. Agar Allah memberikan kewajaranNya.

Percayalah pada janji tuhan

“dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami , Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Allah beserta orang-orang yang berbuat baik.”
Al-Ankabut : 69

Anggerik disuntik si gadis manja,
Disemat kebaya hati ternoda,
Adat berpencak pendekar muda,
Tercalar badan syarat perwira!


Realiti dan Fantasi ; MPP SAM BBST

Kita gusar kebelangan ini apabila , budaya yang menular di SAM BBST Yang kita kasihi ini semakin sukar di bendung. Budaya jijik coupling , dating yang semakin subur di kalangan pelajar. Surat cinta yang dikutip dan dirampas , menggambarkan betapa seriusnya mereka ini berjumpa dan bertemu di saat kita lalai membuat kerja rutin harian kita. Kejadian kecurian bermaharajalela seperti tanpa hentinya. Pencemaran Bualan Ramadhan al-Mubarak yang berleluasa dari perbuatan tidak berpuasa , keluar tanpa kebenaran ke bazaar ramadhan kerana keinginan nafsu perut dan merokok. Ini lah yang paling ditakuti . Teringat sabda nabi junjungan

“ akan tiba satu zaman di mana manusia hanya mementingkan perut mereka, kemuliaan bagi mereka adalah harta benda , agama bagi mereka hanyalah matawang dan kiblat bagi mereka adalah wanita. Sesungguhnya mereka itu adalah sejahat-jahat manusia”


Subuh? Adakah kita tak punya kekuatan atau kita gagal merancang? Sedang sibuk Palestin kita ingin bebaskan tetapi jika kita terus berselimut dengan kulit babi di atas katil kesejukkan. Kita ditempatkan di satu bilik indah..dengan mengambil keberkatan almari SRI PUTERI sebagai gubuk simpanan bukan untuk tidur nyenyak setaman, bukan juga untuk berenda gurauan menjadi tempat simpanan harta rampasan , jauh sekali tempat menempelak dengan pelbagai perkatan bila dirotan kaki bila kelewatan. Adakah bilik ini kurang keselesaan? Hingga sahabat tega meninggalkan kita dengan pelbagai alasan untuk duduk diluar perbatasan tetapi masih kerap datang walau dihalang! kenapa tak guna ketua aras dan ketua dorm yang ada untuk tolong menggerakkan atau memang tidak boleh langsung digunakan. Berbanggalah dengan kedudukkan ke empat terbaik SABK Selangor tetapi kalau ini penanda arasnya jauh lagilah kita untuk menggapai kualiti yang sebenar.



Bubar Saf bukan Bubar Iman

Dari saat pembubaran nanti barulah kalian bergelar mantan (mundar mandir tanpa jawatan) tapi sering kali diingatkan bahawa ini adalah pembubaran saf jawatan bukannya bubar iman. Berkelakuanlah sebagai pelajar yang beriman dan diredhai Tuhan , bukan pelajar yang melepas geram dan memberi jawapan bodoh ‘aku sudah tidak punya jawatan’ atau ‘ini tahun terakhir aku di sini’ . jawapan-jawapan seperti ini, menunjukkan kita tidak konsisten dalam amal kita.

Ambillah pengalaman dan pengajaran pada setiap detik yang menjadi pelajaran ketika bergelar pimpinan. Ingatkah lagi bila diperdengarkan bahawa ini taklif bukan tasrif. Muhasabahlah bila orang berkata presiden apa ni kalau macam ni, ketua asputeri apa ni kalau asyik mengarah je tak tahu nak buat, exco pendidikan apa ni ..kalau diapun study kat asrama, exco disiplin apa ni..kalau diapun lempang budak…exco kebersihan kalau dia pun pengotor etc MPP apa ni kalau dia pun lambat ..tak guna …dll. Beristighfarlah. Kami di bahagian pengurusan MPP cukup sedar dan yakin yang kami bukan melantik malaikat untuk menjadi MPP , ungkapan ini biasa kedengaran. Kemaafan jua dipinta kerana mungkin kekurangan latiha buat kalian sedemikian.

Istiqamahlah dengan perjuangan amar maaruf , nahi mungkar kita telah sering kali diperingatkan tetntang betapa payahnya mengawal mantan-mantan yang terdahulu. Cukuplah kamu merasainya. Bukalah lembaran baru. Sekali lagi ..istiqamahlah ..sesungguhnya ganjaran bagi orang yang beristiqamah amatlah besar di sisi Tuhan..

“apabila mereka tetap istiqamah menempuh jalan itu, pastilah Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar”
Surah Jin : 16

Memperkasa Agenda Perkukuh Qiyadah, Menerus Amanah, Perkasah Madrasah

Marilah kita bersama-sama berazam dan bertekad untuk mengadun setiap inci semangat perjuangan untuk melihat setiap warga SAM BBST terus mencipta kecemerlangan terutama dalam idang akademik dan mempunyai sahsiah yang unggul dan menjadi contoh kepada masyarakat sekelililing. Ungkapan-ungkapan seperti macam inikah budak sekolah agama , budak SAM pun sama, budak sekolah agama lagi teruk menimbulkan fitnah yang cukup besar kepada sekolah. Benarlah kata pepatah ”kerana nila setitik , rosak susu sebelanga” Pahatkanlah semangat mari kita laksanakan agenda ini

1. Menghidupkan Biah Islamiyah di SAM BBST

Sebagai sebuah sekolah yang berteraskan pendidikan Islam sewajibnya sekolah ini dibina dengan semanagat biah islamiyyah bukan sekadar melihat kepada uniform pakaian seragam puteri sahaja tetapi semua aspek yang ada di sekolah teramsuklah kegiatan ko-kurikulum , sukan, akademik dan sebagainya. Olek yang demikian pihak SUMUR mengambil kesempatan untuk menyokong cadangan tuan Pengettua untuk membudayakan Mathurat mengantikan perhimpunan pagi. Disamping kita menyebarkan amalan member salam kepada semua orang, adab-adab asas sebagai seorang muslim serta budaya solat berjemaah pada setiap warga sekolah. Apalah salahnya jika kita bersolat jemaah selepas mesyuarat atau sebelum usrah itu adalah lebih baik.
Begitu juga impian melihat puteri yang lebih solehah, kewujudan kumpulan yang digelar Misz Whatever adalah berita yang cukup malang bagi SAM BBST. Dalam usaha mahu melihat puteri yang sopan santun, tidak terjerit-jerit seakan musnah bila ada kumpulan yang sebegini. Wahai Puteri , kembalilah kepada fitrahmu, hargailah masa yang ada untuk mengukuh jatidiri sebagai puteri muslimah sejati.

2. Memberdayakan Badan Pengawas dan Badan Dakwah dan Tarbiyyah (BADAR) dan mengukuhkan badan gabungan.

Badan Pengawas SAM BBST dikatakan lesu selepas kewujudan MPP. Sedangkan ia sepatutnya menjadi tentera yang gagah berani. Adakah system pemilihan pengawas terlalu longgar sehingga menjadi badan pengawas tiada kredibiliti ? Kita perlu bersama memberdayakan badan utama ini di sekolah. Peranan pengawas pada sesi persekolahan harus diperkasakan. Skop tugas MPP yang menyeluruh terutama di asrama membataskan MPP untuk terus di sekolah. Tugas pengawas seperti perhimpunan, kawalan kelas, kantin, tandas , membantu badan disiplin perlu diberi latihan secukupnya. Pimpina pengawas harus proaktif untuk menggerakkan setiap jiwa pengawas supaya ia lebih mantap dan berkesan.

Penubuhan BADAR merupakan satu impian untuk memperkukuhkan tarbiyyah di SAM BBST. BADAR juga perlu menjadikan Surau Raudhatul Faizin sebagai pusatnya untuk menjalankan aktiviti. Ahli Jawatankuasa Badar perlu agresif dan proaktif merancang program dan menjadi contoh yang baik kepada warga sekolah. Begitu juga Pembimbing Rakan Sebaya, Pengawas Media dan Majlis Ketua Tingkatan perlu dikukuhkan organisasi dan meneruskan tugas dengan penuh komited dan keupayaan.

3. Mengangkat Senior Sebagai Contoh.
Tingkatan Lima merupakan senior dalam SAM BBST, kehadiran tingkatan Enam STAM merupakan bonus untuk mendidik adik-adik diperingkat bawah. Walaupun prestasi senior di SAM BBST belum menunjukkan tahap yang baik dan masih lagi boleh dipertikaikan. Senioriti adalah tanggungjawab bukan keistimewaan .Adalah menjadi harapan untuk melihat senior menjadi contoh tauladan yang baik bukan jadi ikutan yang buruk. Hiasilah diri dengan akhlak yang aik untuk menjadi ikutan adik-adik. Isilah saf yang pertama dibelakang Imam untuk menjadi ikutan kepada adik-adik. Awalkanlah subuh kerjakanlah Qiyamullail. Hormatilah hak junior maka kau akan dihormati mereka. Kalau kaulah lewat, masbuk bayangkanlah siapa yang akan menghormatimu kelak. Jadilah senior yang terbaik!

Khatimah ; Menggalas Harapan Ummah

Sebagai seorang yang akan bergraduasi dari Maahad tarbiyaah ini , kamulah harapan ummah. Walau dalam apa watak sekali pun. Watak Riang ala doraemon, watak tegas , pemurah baik hati dan sebagainya. Istiqamahlah dengan apa telah dipelajari . Bersedialah beramal dengan ilmu yang telah dipelajari. Dari bacaan fatihah dalam solat apabila menjadi imam hingga tugas mengurus jenazahpun perlu kamu tahu dan mahir melakukannya. Dari segi perwatakkan , tidaklah perlu berlebihan mengikut peredaran zaman yang kian meruncing ini. Teruskanlah istiqamah dengan pakaian yang bersederhana , menutup aurat, tidak perlulah berjeans-jeans terutama yang ketat dan tidak sesuai. Bagi puteri-puteri yang dikasihi teruskanlah bertudung litup dan labuh memenuhi syarat wanita solehah. Sekurang-kurangnya janganlah sehingga hati kecil ini terkilan apabila melihat perubahan perwatakan kalian nanti. Cukuplah koleksi pelajar-pelajar yang terpesong, membuatkan diri ini terasa gagal dalam mendidik di arena ini.

Di kesempatan akhir ini , bagi pihak pengurusan hal ehwal murid (HEM) dan khusus unit Sahsiah Unggul Murid (SUMUR) mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan MPP 2010/2011 yang telah mencurahkan budi dan bakti sepanjang menjalankan tugas sebagai exco. Jasa dan budi kalian hanya Allah shaja yang akan membalasnya kelak. Kepada semua calon SPM dan SMA 2011, diucapkan selamat menghadapi peperiksaan. Moga kalian dipermudahkan Allah untuk menjawab peperiksaan dunia semudah kamu akan menjawab pertanyaan Allah di akhirat kelak “di mana umurmu kau habiskan.

Teruskan lah berjuang. Kerana perjuangan ini masih panjang dan tidak pernah selesai hingga kita bertemu Allah kelak. Bercita-citalah untuk menjadi syuhada’ dijalan Allah. Janganlah terasa penat dalam perjuangan . Percayalah rehat seorang daie itu di syurga Allah nanti.


” Ya Tuhan Kami , Janganlah Engkau hokum kami, jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, Janganlah Engkau bebankan kami, beban yang berat sebagai mana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah kau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Berilah maaf kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami , maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir”
Amin Ya rabbal ‘Alamin

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Walillahilham
Wabillahitaufiq wal hidayah wassalamualaikum wrt wbt

No comments: